KUALA LUMPUR: Sistem gaji progresif yang diamalkan di Singapura boleh dilaksanakan di negara ini, namun, ia perlu dibuat dengan beberapa penambaikan.
Ketua Pegawai Eksekutif THE FUTURE, Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata, ini bagi mengelakkan fokus hanya diberi kepada pekerja bawahan atau yang berpendapatan rendah semata-mata.
Kata Mohd Yusof, terdapat keperluan untuk Malaysia mewujudkan model upah tertentu namun menekankan kepentingan agar ia tidak hanya difokuskan kepada golongan tertentu sahaja.
"Pertama sekali, penting untuk memahami apa itu gaji progresif dari persepktif ekonomi. Ini bukan sahaja diamalkan di Singapura, tetapi juga terdapat di negara lain dengan nama yang berbeza.
"Dalam konteks tuntutan ekonomi, pekerja menginginkan peningkatan gaji, terutama bagi pekerja separa mahir dan kurang mahir. Pekerja yang mahir biasanya tidak menghadapi masalah kerana gaji mereka sudah tinggi.
"Namun, majikan perlu meningkatkan produktiviti bersama-sama dengan kenaikan gaji. Kita ingin mencapai situasi yang memberikan manfaat kepada semua pihak, di mana peningkatan produktiviti akan menghasilkan output yang lebih baik, lebih banyak keuntungan, dan seterusnya mengimbangi kos peningkatan gaji," katanya ketika muncul dalam program Dialog Anak Muda yang bersiaran pada Jumaat.
Sistem gaji progresif merupakan peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Jelasnya, model upah tidak hanya terhad kepada sistem gaji semata-mata tetapi perlu mempunyai laluan kerjaya berdasarkan tingkat pengalaman dan kemahiran bagi mengimbangi kehendak majikan dan pekerja.
"Model gaji progresif ini adil kerana ia membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dan kemajuan kerjaya, manakala majikan pula mendapat peningkatan produktiviti yang diterjemah kepada keuntungan. Kedua-dua pihak memperoleh manfaat melalui peningkatan gaji yang adil.
"Konsep ini perlu difahami tanpa mencontohi Singapura secara terus, kerana ia hanya akan mendedahkan pekerja bawahan kepada konsep ini.
"Sebaliknya, konsep ini boleh digunakan pada semua golongan termasuk graduan. Yang penting adalah pemahaman terhadap model ini terlebih dahulu," ujarnya.
Malaysia, tambahnya, harus bijak dalam mengambil dan mengadaptasi konsep dari luar, terutama dalam aspek mengenal pasti kelemahannya dan membuat penambahbaikan.