Skip to main content

Pelancaran Buku Panduan Pertumbuhan Bersih UK-Malaysia yang pertama panduan mengenai amalan terbaik untuk mencapai pelepasan sifar bersih oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay (kiri) dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Menara Ilham. – NSTP/AMIRUDIN SAHIB.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di negara ini dengan perbincangan serta proses libat urus mengenainya sudah bermula membabitkan pelbagai sektor, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, dasar atau model gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Sistem gaji progresif ialah peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini adalah sebahagian daripada dasar yang sedang dikaji Kementerian Ekonomi dan ia diselaras dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) supaya nisbah hasil ekonomi yang diberi kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan meningkat daripada paras semasa iaitu sekitar 36 peratus kepada 40 peratus.

“Kita akan bawa perbincangan ini dalam forum kerajaan yang sewajarnya dalam masa yang ditetapkan nanti,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian UK-Malaysia Clean Growth Handbook, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay.

Model Gaji Progresif (PWM) dicadangkan penganalisis ekonomi sebelum ini memandangkan kadar upah RM1,500 tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan majikan sebenarnya mampu membayar pekerja sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari sebelum ini berkata, PWM adalah struktur gaji yang membantu meningkatkan gaji pekerja melalui peningkatan kemahiran dan meningkatkan produktiviti.

Singapura antara negara yang telah melaksanakan PWM dalam membantu meningkatkan gaji pekerja iaitu membabitkan rakyat dan penduduk tetap Singapura dengan upah rendah dalam struktur Gaji Progresif Sektor membabitkan pekerja pembersihan, keselamatan dan landskap.

Bagaimanapun, majikan digalakkan untuk menggunakan prinsip gaji progresif untuk pekerja asing mereka.

Berdasarkan undang-undang, kegagalan melaksanakan PWM akan menyebabkan majikan diberikan surat amaran dan denda.

Sebagai contoh, tukang cuci am di Singapura menerima gaji sebanyak S$1,530 (RM6,785.38) selepas PWM dilaksanakan berbanding sebelumnya S$1,486 (RM6,590.25).

Bagi tukang cuci pelbagai kemahiran (berkemahiran tinggi) pula, mereka menerima gaji S$1,749 (RM7,756.62).

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan ingin memastikan kerangka dasar itu lebih mampan dan dapat dilaksanakan secara positif oleh semua pihak serta manfaatnya bukan hanya kepada pekerja, malah membabitkan majikan.

“Selama ini, kita melihat aspek peralihan dalam menjaga kebajikan gaji pekerja sebagai contoh pelaksanaan kadar gaji minimum baharu dan kini kita akan beralih kepada fasa berikutnya iaitu gaji progresif.

“Perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh selaras dengan kehendak kerajaan dan ekonomi supaya gaji meningkat secara berkala berdasarkan kemampuan perniagaan sebab jika tidak berhati-hati, ia akan memberi kesan kepada majikan,” katanya.

Beliau berkata, cadangan berkenaan akan dibawa ke forum membabitkan kerajaan dengan sewajarnya.

“Kita tidak mahu gaji dinaikkan tetapi disebabkan kenaikan itu menyebabkan pekerja terpaksa diberhentikan.

“Kerajaan mahukan satu dasar yang lebih mampan diangkat dan dilaksanakan secara positif oleh semua. Pandangan majikan dan pekerja adalah sama penting,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus, Rafizi berkata, ia bukannya dasar kerajaan sebaliknya cadangan yang dilontarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu.

“Setakat pengetahuan saya, cadangan ini bukannya dasar kerajaan dan tidak pernah dibincangkan di mana-mana forum. Tetapi ia adalah tuntutan yang dibawa oleh NGO tertentu bukannya mewakili kumpulan pekerja terbesar di negara ini,” katanya.

Source : BHARIAN

Leave a Reply