Skip to main content

Sektor ekonomi yang kurang produktif kebiasaannya memang membayar gaji rendah kepada tenaga kerja termasuk lepasan ijazah.- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kajian mendedahkan wujudnya situasi salah penempatan tenaga kerja atau ‘misallocation of talent’, berlaku dalam aspek ekonomi di negara ini, menyebabkan sebahagian graduan bekerja di sektor yang kurang produktif, sekali gus dibayar gaji lebih rendah.

Dapatan itu diperoleh melalui kajian Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia, yang dilakukan tahun lalu.

Ketua Ekonomi EU-ERA, THE FUTURE, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata sektor ekonomi yang kurang produktif kebiasaannya memang membayar gaji rendah kepada tenaga kerja termasuk lepasan ijazah.

“Industri tertentu, terutama yang mempunyai persaingan tinggi atau margin keuntungan rendah, cenderung menawarkan gaji permulaan yang lebih rendah.

“Industri seperti pemborongan dan runcit, antaranya didapati mempunyai kekangan yang memberi kesan

kepada skala gaji. Contoh ini menunjukkan keadaan ‘misallocation of talent’,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang bimbang melihat kecenderungan gaji permulaan untuk lepasan ijazah di negara ini tidak jauh beza dengan paras gaji minimum pekerja tidak mahir, iaitu RM1,500 sebulan.

Pada masa sama, Mohd Yusof berkata, gaji permulaan siswazah yang rendah adalah manifestasi daripada tindak balas permintaan oleh majikan dan penawaran graduan oleh institusi pengajian tinggi (IPT), yang mana kedua-dua tindak balas ini menyumbang kepada situasi itu.

Mohd Yusof yang juga Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), berkata ketidakpadanan kemahiran turut menyumbang kepada isu terbabit, iaitu kepakaran dimiliki graduan baharu mungkin tidak sejajar dengan kemahuan majikan.

“Ketidakpadanan kemahiran ini boleh menjejaskan kuasa tawar-menawar mereka dan gaji yang ditawarkan. Perangkaan mendapati kadar ketidakpadanan kemahiran menunjukkan ‘trend’ yang semakin meningkat.

“Selain itu, kajian EU-ERA, THE FUTURE turut mendapati dua pertiga daripada penciptaan pekerjaan tahunan adalah kategori separa mahir dan kurang mahir. Apabila saiz penciptaan pekerjaan kategori mahir kecil, ini menjadi persaingan sengit kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan dan seterusnya menekan kepada gaji rendah.

“Kajian kita juga mendapati wujudnya mobiliti pekerjaan yang bersifat menaik bagi sebahagian graduan dalam tempoh tiga tahun mereka di alam pekerjaan. Sebahagiannya pula kekal pada pekerjaan yang sama dan bermobiliti menurun,” katanya.

Beliau berkata, isu lain yang menyumbang kepada masalah itu ialah lebihan bekalan graduan, kurangnya pengalaman dan pendedahan kebolehpasaran golongan itu.

Bagi menangani isu itu, Mohd Yusof berkata, kerajaan boleh melaksanakan penyediaan panduan gaji permulaan graduan merentasi sektor dan pekerjaan yang berbeza.

“Dengan menyediakan data yang telus dan mudah diakses mengenai imbuhan peringkat permulaan, bakal pencari kerja diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai laluan kerjaya mereka.

“Panduan gaji permulaan di Malaysia pernah diterbitkan pada 2020. Selepas daripada itu, tiada usaha dilakukan bagi menyediakan panduan gaji kepada bakal pekerja dan majikan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, selain itu, pendekatan intervensi dari segi permintaan yang memfokuskan pada menggalakkan peningkatan industri juga boleh dilaksanakan.

Katanya, dengan memberi insentif kepada industri untuk beralih ke arah menghasilkan produk bernilai tambah tinggi dan menerima inovasi teknologi, permintaan untuk pekerja mahir yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kepakaran khusus pasti akan meningkat.

“Strategi lain untuk menangani cabaran gaji rendah bagi graduan baharu membabitkan campur tangan dari segi penawaran, yang merangkumi penetapan tahap gaji melalui peraturan dan garis panduan gaji.

“Dengan mewujudkan piawaian gaji minimum graduan atau penanda aras gaji khusus industri, badan kawal selia boleh memastikan gaji peringkat permulaan lebih sejajar dengan nilai kemahiran dan kelayakan dimiliki graduan,” katanya.

Source : BERITA HARIAN