Skip to main content

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani : Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – Foto Bernama

Tahun 2023 ini dimulakan dengan pelancaran kerangka pembangunan baharu dipacu oleh Malaysia Madani. Pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia MADANI sebagai kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur dan dihormati.

Bertemakan 'Membangun Malaysia MADANI', konsep diperkenalkan Perdana Menteri ini terletak pada enam tonggak utama, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Penulis mengambil kesempatan untuk memberi pandangan daripada dua perspektif. Pertama, kaitan Malaysia MADANI dengan keperluan transformasi ekonomi, manakala kedua, terjemahan madani kepada pelan tindakan dan pelaksanaan.

Hakikatnya, keenam-enam tonggak madani itu menjadi manifestasi daripada terjemahan tiga elemen terkandung dalam maksud madani. Madani merangkumi kemajuan daripada segi kebendaan, pemikiran dan kerohanian.

Kemajuan kebendaan mencakupi tonggak kemampanan dan kesejahteraan, sedangkan kemajuan pemikiran pula dirujuk kepada tonggak daya cipta, manakala kemajuan kerohanian diwakili oleh tonggak hormat, keyakinan serta ihsan.

6 tonggak Malaysia MADANI sangat relevan

Oleh itu, keenam-enam tonggak Malaysia MADANI sangat relevan dalam konteks pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia. Tonggak kemampanan memberi fokus ke arah pertumbuhan ekonomi tinggi dan memastikan potensi sumber pertumbuhan dimaksima sepenuhnya.

Kerelevanan ini tentunya boleh dilihat terhadap keperluan pemerkasaan dan transformasi sektor pertanian dan industri makanan sebagai sumber pendapatan rakyat serta jaminan keselamatan makanan yang memperlihatkan 'kerapuhan' ketika kita menghadapi krisis pandemik COVID-19 sepanjang dua tahun sebelum ini.

Tonggak kesejahteraan pula memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Dalam konteks semasa, usaha meningkatkan gaji dan upah pekerja menjadi keperluan kepada Malaysia MADANI. Langkah ini mendorong ke arah peningkatan taraf hidup rakyat serta jaminan maruah pekerja di negara ini terbela.

Tonggak daya cipta pula berkait dengan persekitaran dan ekosistem ekonomi. Peningkatan teknologi, inovasi dan pengkomersialan adalah antara bidang keutamaan negara yang sangat memerlukan kepada bakat Malaysia mempunyai daya cipta tinggi.

Dengan nisbah pembangunan dan penyelidikan (R&D) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang masih rendah ketika ini, sudah tentu menjadi keperluan kepada Malaysia untuk meningkatkan perbelanjaan ke atas R&D, selain mengutamakan aspek pengkomersialan.

Daripada perspektif ekonomi, daya cipta berkait rapat dengan kualiti modal insan dilahirkan. Tonggak hormat, keyakinan dan ihsan juga adalah sinonim dengan kualiti modal insan.

Pendidikan formal dan bukan formal memainkan peranan penting dalam aspek penjanaan nilai daya cipta dan kerohanian insan. Modal insan berbakat tinggi, produktif serta memiliki akhlak baik penting pembangunan ekonomi jangka panjang negara.

Bagaimanapun, Malaysia MADANI pastinya tidak cukup hanya dengan slogan dan kerangka konsep pada peringkat makro. Malaysia MADANI perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan dan pelaksanaan agar matlamat digagaskan tercapai. Terdapat dua perkara utama perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Pertama, setiap tonggak Malaysia MADANI perlu dipadankan dengan dokumen dasar pembangunan jangka pendek dan jangka sederhana. Kita ingin melihat fungsi dasar madani boleh memberi manfaat dalam mempercepatkan pemulihan dan transformasi ekonomi Malaysia.

Umpamanya, apakah instrumen berkonsepkan madani yang boleh digunakan kerajaan dalam menangani kos sara hidup, pengangguran dalam kalangan belia dan kadar penyertaan wanita rendah dalam pasaran buruh?

Dukung konsep Malaysia MADANI

Ketika ini, kerajaan sedang dalam proses menyediakan dokumen Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Justeru, kita menjangkakan instrumen dan intervensi dasar berkonsepkan madani dapat dinilai pada dokumen bakal diterbitkan nanti.

Selain itu, amat penting sekali tindakan setiap kementerian dan agensi kerajaan mendukung konsep Malaysia MADANI. Tonggak kesejahteraan umpamanya memastikan kehidupan lebih inklusif atau terangkum kepada semua pihak termasuk kerajaan, peniaga dan isi rumah.

Oleh itu, saranan umpamanya tidak memakan ayam pada ketika harga ayam tinggi adalah tidak 'MADANI' jika bersandarkan fakta kadar kebergantungan tinggi ayam oleh isi rumah.

Kedua, bagaimanakah kemajuan dan keberkesanan Malaysia MADANI hendak diukur. Persoalan ini memerlukan kepada pengukuran khusus Malaysia MADANI. Ketika Perdana Menteri terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamed melancarkan dasar Wawasan 2020, pengukuran pencapaian dasar terbabit sudah dibentuk. Begitu juga dalam situasi Malaysia MADANI, kerangka pengukuran perlu disemak dan dibentuk selari dengan konsep madani.

Apakah petunjuk yang akan digunakan untuk mewakili setiap tonggak dinyatakan itu? Adakah ia memerlukan kita menjana petunjuk baharu berbanding dengan sedia ada bagi menyesuaikan dengan konsep Malaysia MADANI?

Umpamanya, sasaran pencapaian sesebuah negara berpendapatan tinggi bersandarkan semata-mata kepada KDNK per kapita adalah tidak sesuai dengan konsep madani. Hal ini kerana pengukuran KDNK per kapita tidak menjamin pengagihan pendapatan adil antara rakyat.

Apabila petunjuk Malaysia MADANI tersedia, ini akan memudahkan pemantauan kemajuan kerana setiap kementerian dan agensi kerajaan boleh menggunakan petunjuk Malaysia MADANI sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka.Dukung konsep Malaysia MADANI

Source : BH

Leave a Reply