KUALA LUMPUR: Wujudkan kedai harga rendah dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan antara cadangan pakar ekonomi dalam menangani isu kos sara hidup ketika ini.
Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Yusof Saari mencadangkan kedai harga rendah itu dibuka di kawasan penempatan golongan B40 dan M40 bagi memastikan golongan sasar itu benar-benar memperoleh faedah berkenaan.
“Dengan mewujudkan kedai harga rendah ini, golongan B40 dan M40 dapat menerima manfaat dan penjimatan dalam perbelanjaan harian.
Bagi memastikan manfaat ini diterima golongan sasar, kerajaan boleh menyediakan kad khas dan hanya individu mempunyai kad ini sahaja boleh membeli di kedai berkenaan,” katanya sebagai tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Menangani Kos Sara Hidup, Peranan Siapa?”, malam tadi.
Turut menjadi tetamu program berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Roziah Abudin.
Selain itu, Yusof mencadangkan agar kerajaan melaksanakan tinjauan mengenai subsidi diberikan kepada orang ramai seperti subsidi minyak masak paket satu kilogram bagi melihat inisiatif yang dilaksanakan kerajaan berkesan atau sebaliknya.
Sementara itu, Roziah berkata negara mengamalkan sistem ekonomi pasaran terbuka dan dalam sistem berkenaan, harga tidak dapat dijangka, justeru timbul kekhuatiran berlaku peningkatan harga barangan secara mendadak.
“Di sinilah kerajaan mainkan peranan, intervensi kerajaan bagi memastikan harga tidak naik secara mendadak… inilah dilakukan kerajaan ketika ini dalam memastikan industri dan peniaga terjaga manakala kebajikan pengguna terbela sekali gus mencapai titik keseimbangan antara industri dan pengguna,” katanya.
Beliau berkata antara usaha dilakukan kerajaan dalam menangani kos sara hidup hari ini antaranya mengekalkan subsidi minyak masak dalam paket dan tidak mengapungkan harga ayam dengan meneruskan subsidi serta menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung.