PANDEMIK Covid-19 di Malaysia menyebabkan hampir keseluruhan sektor ekonomi lumpuh selama lebih sebulan dan dijangka mempengaruhi perancangan ekonomi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, perancangan dan pembangunan ekonomi Malaysia untuk tempoh 2021 sehingga 2030 akan dipandu dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
Katanya, dalam tempoh antara 2021 hingga 2030, matlamat dan sasaran WKB akan disokong dua pelan perancangan jangka masa sederhana iaitu RMK12 (2021-2025) dan ke-13 (2026-2030).
“Pada awalnya, pelan RMK-12 dirancang ketika ‘tsunami’ Covid-19 belum melanda Malaysia dan kebanyakan negara di dunia.
“Kenapa pandemik Covid-19 disamakan seperti tsunami? Ia kerana ia menyebabkan hampir keseluruhan sektor ekonomi di negara ini lumpuh seketika selama sebulan setengah.
“Sektor ekonomi kini bangkit semula secara perlahan-lahan, tetapi amalan perniagaan tidak lagi sama seperti sebelum ini.
“Ekonomi beroperasi dalam konteks normal baharu dan itu belum diambil kira impak ke atas negara lain yang akan mempengaruhi Malaysia,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, tsunami Covid-19 akan mempengaruhi pelan perancangan ekonomi sehingga RMK-12 dan ini kerana pemulihan ekonomi memakan masa, di samping faktor lain seperti perubahan pada landskap ekonomi global, struktur pasaran buruh dan gangguan sektor utama.
“Ringkasnya, pemulihan ekonomi pasca Covid-19 memakan masa bukan sehari, sebulan atau setahun. Struktur ekonomi sedia ada perlu dibangunkan dan diperkemas semula.
“Semuanya ini akan memakan masa antara dua hingga tiga tahun yang pastinya akan mempengaruhi pelan pembangunan RMK-12.
“Bukan itu sahaja, kemungkinan matlamat WKB juga akan tersasar, jika langkah pemulihan ekonomi tidak dibuat secara tepat,” katanya.
Sementara itu, menerusi laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, sejumlah RM103.2 bilion nilai jualan direkodkan oleh perdagangan borong dan runcit bagi Mac 2020, menyusut sebanyak RM6.3 bilion atau -5.7 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Kejatuhan ini disumbangkan oleh perdagangan runcit yang merekodkan penurunan RM2.9 bilion (-6.6 peratus) dan kesan Covid-19.