Skip to main content

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu melaksanakan sistem ‘outsourced’ (penyumberluaran) kepada pekerja swasta jika memerlukan tenaga kerja tambahan dalam sektor awam.

Anak Malaysia yang kini berkhidmat sebagai penasihat ekonomi di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, kaedah menempatkan pekerja swasta ke sektor awam itu lebih berkesan berbanding pengambilan secara kontrak bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

“Ini kurang memberi implikasi moral kepada kerajaan. Pada pandangan saya, elok kerajaan ambil pendekatan pembaharuan keseluruhan sistem gaji dan saraan sektor awam.

“Lihat juga kebolehlaksanaan untuk memperkenalkan sistem saraan tunggal yang mencakupi sektor swasta dan kerajaan. Mobiliti pekerja sektor awam dan swasta memberi manfaat kepada negara,” katanya hari ini.

Menurutnya, jika sistem saraan tunggal tidak boleh dilaksanakan, maka sistem saraan kerajaan memerlukan kaedah baharu yang lebih mampan.

“Pembaharuan sistem saraan perlu menyeluruh dengan mengambil kira sistem gaji dan elaun serta laluan kerjaya.

“Kesemua ini memerlukan pembaharuan yang progresif, pembaharuan juga perlu melihat keperluan kepada skim pencen orang politik.

“Bahasa mudahnya, jika mahu hapuskan pencen, pencen ahli parlimen perlu dihapuskan terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, bebanan kewangan kerajaan dalam sistem saraan sedia ada memerlukan kepada pembaharuan sistem saraan yang lebih mampan kepada fiskal kerajaan dan ekonomi.

Dr Mohd Yusof berkata, kadar populasi menua yang meningkat menjadikan bebanan tambahan kepada sistem saraan sedia ada.

“Kerajaan perlu menanggung pencen yang lebih panjang kepada kakitangan kerajaan, jadi ini menjadi bebanan jika Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) tidak dapat menjana hasil tambahan untuk menampung kos pencen.

“Langkah kerajaan hanya melantik kakitangan kontrak bukan penyelesaian yang ampuh.

“Ini memberi implikasi moral kepada sektor kerajaan. Adakah ini langkah awal kesamarataan antara sektor kerajaan dan swasta? Jika begitu, apakah manfaat kepada pekerja sektor awam,” katanya.

Menurutnya, pekerja sektor awam di negara lain mempunyai ‘martabat’ yang tinggi, jika mereka dilantik secara kontrak, maka gaji mereka perlu lah lebih tinggi kerana ketiadaan pencen seperti yang dinikmati pada ketika ini.

Source : HARIAN METRO