Ketika negara berada dalam fasa pemulihan ekonomi, isu kenaikan harga barang membelenggu rakyat sejak akhir 2021. Berdasarkan tinjauan statistik semasa, indeks harga pengguna pada Disember 2021 meningkat 3.2 peratus, melepasi purata inflasi negara bagi tempoh 2011 hingga 2021, iaitu 1.9 peratus.
Sebahagian besar kenaikan harga barang dan perkhidmatan di pasaran domestik disumbangkan perubahan peratusan bagi komponen pengangkutan sebanyak 9.5 peratus; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.4 peratus) dan makanan serta minuman bukan alkohol (3.2 peratus).
Walaupun permintaan tinggi memberikan petunjuk positif kepada pemulihan ekonomi dalam aspek permintaan, masalah pengeluaran dihadapi pengeluar menjejaskan pemulihan ekonomi apabila berlaku ketidakseimbangan permintaan dan penawaran dalam pasaran.
Melihat situasi semasa ini, tidak adil untuk membuat kesimpulan awal dengan menuding jari kepada penjual atau pengeluar semata-mata kerana mereka juga pengguna kepada pengeluar input lain.
Sejak pembukaan sektor ekonomi meluas pada awal suku keempat 2021, pengeluar masih dihimpit masalah mendapatkan bekalan bahan mentah bagi memenuhi permintaan semakin meningkat.
Dalam konteks global pula, kebanyakan negara bukan pengeluar bahan api seperti China dan Amerika Syarikat (AS) turut mengalami krisis tenaga meruncing sejak pasca pandemik, yang turut mendorong peningkatan paras harga.
Ini disebabkan faktor tolakan kos berlaku dan tidak hanya berpunca daripada permintaan tinggi, bahkan disebabkan peningkatan kos bahan api mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran.
Menyedari rantaian nilai global semakin kompleks ini, transmisi harga berlaku daripada pengeluar kepada pengeluar lain yang akhirnya mendatangkan implikasi kenaikan harga kepada pengguna.
Rentetan isu kenaikan harga ini, penyelesaian holistik amat diperlukan bagi memastikan isu kenaikan harga ini boleh dirungkai dengan cara berhemah tanpa mengetepikan kebajikan semua pihak.
Ada beberapa strategi boleh dipertimbangkan kerajaan untuk mengawal kenaikan tingkat harga barang. Umumnya, mekanisme penstabilan makroekonomi menerusi campur tangan fiskal dan kewangan boleh digunakan untuk menangani masalah ini.
Secara khusus, dalam aspek pemulihan ekonomi, fokus perlu diutama kepada pembekalan barang asas seperti makanan dan barang mentah lain supaya mampu dibeli dengan harga berpatutan dan selari pendapatan rakyat, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan makanan serta melindungi perniagaan.
Dari sudut fiskal, pelan tindakan jangka pendek bersesuaian seperti pemberian insentif cukai kepada syarikat dan pengecualian cukai secara one-off, boleh dipertimbangkan untuk menyerap serta mengimbangi kesan inflasi dengan mengurangkan tekanan aliran tunai kepada pengeluar.
Selain itu, insentif bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran juga perlu diberi perhatian. Mekanisme subsidi berteraskan produktiviti boleh dipertimbangkan bagi memastikan pengeluar mempunyai daya tolakan untuk menghasilkan produk mereka dalam pasaran tempatan.
Dari segi pendekatan monetari pula, pembiayaan kewangan lebih fleksibel perlu disediakan kepada penggerak industri. Menerusi Bajet 2022, skim pembiayaan merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti sebanyak RM40 bilion disediakan kepada usahawan bagi melancarkan aliran tunai perniagaan dan memberi sokongan kepada perniagaan, terutama sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pendekatan bersasar boleh dilakukan dengan memfokuskan industri terjejas teruk akibat gangguan aliran perbekalan pasca pandemik ini. Keutamaan perlu diberikan kepada sektor terbabit dalam rantaian nilai global.
Kejayaan kedua-dua mekanisme ini dijangka mampu mengurangkan masalah isu rantaian bekalan dihadapi ketika ini, pada masa sama, mengurangkan kesan kenaikan harga barang.
Pemantauan komprehensif dan konsisten juga perlu dibuat supaya kerajaan boleh mengenal pasti keperluan industri dan campur tangan awal supaya tindakan proaktif boleh diambil untuk mengawal ‘titik buta’ yang menjadi punca kepada isu kenaikan harga barang dalam pasaran.
Penulis adalah Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)