KUALA LUMPUR, 15 November- Permintaan domestik kukuh disokong pemulihan pasaran buruh; penjanaan pendapatan dan pengembangan eksport antara faktor penyumbang kepada prestasi ekonomi memberangsangkan pada suku ketiga 2022.
Pertumbuhan dua angka bagi tempoh Julai hingga September itu juga, hasil sokongan dasar berterusan kerajaan, terutama dalam mendepani situasi ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Ahli Ekonomi Pasaran Buruh, Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu, Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari berpendapat, kestabilan politik juga penentu utama kepada lonjakan pertumbuhan ekonomi berterusan sejak awal tahun ini.
Jelasnya, trajektori ekonomi positif ketika ini perlu dikekalkan, sebagai penampan kepada sebarang kejutan luaran pada masa hadapan.
“Jadi ada dua perkara yang perlu dilakukan secara keseluruhannya, yang pertama memastikan impak daripada ekonomi global dapat ditangani untuk memastikan keluarga Malaysia terus terjaga terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Yang kedua kita perlu bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan memastikan kita kukuhkan kembali asas ekonomi yang ada pada ketika ini, kita kukuhkan, rapatkan, pasakkan ekonomi itu supaya masa-masa akan datang jika ada krisis lagi kita boleh hadapi dengan lebih baik,” katanya.
Sokongan kepada sektor perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta penggiat sektor pelancongan perlu diteruskan, melalui pemberian skim dan geran khas.
Ia bagi memastikan mereka pulih semula ke paras sebelum pandemik sekaligus menjadi pemangkin utama dalam pertumbuhan ekonomi negara seterusnya.