KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan dan sektor swasta yang ditugaskan untuk melihat kembali proses pemberian subsidi, diminta untuk tidak melakukannya dengan tergesa-gesa, dan memberi fokus kepada subsidi bersasar semata-mata.
Pakar Ekonomi, Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata, lebih wajar sekiranya semua pihak melihat kembali keseluruhan ekosistem pemberian subsidi, bagi mengesan sekiranya ada kekurangan atau salah dan silap di satu-satu peringkat.
Beliau berkata, ekosistem itu mencakupi pengeluaran, rantaian bekalan, sehinggalah ke isi rumah, dan jika tindakan yang silap dilakukan, dia dikhuatiri memberikan impak negatif kepada ekosistem subsidi.
“Subsidi dalam ekonomi ni, kalau kita bentang dan tunjuk dekat dashboard, ia seperti mencakupi semua aspek – dari pengeluaran, ke rantaian bekalan, sehinggalah sampai kepada isi rumah. Itu kalau kita nak tengok keseluruhan.
“Bukan sekadar kata nak kurang (subsidi) di sini, dan letakkan subsidi bersasar dekat sini … tidak bukan begitu. Kalau begitu caranya (yang akan diambil kerajaan), kita akan tak habis-habis menghadapi masalah yang sama,” katanya lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal hari ini memberi tempoh dua minggu untuk kementerian berkaitan menyiapkan kertas kerja berhubung pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.
Menurutnya, kesan subsidi kepada rakyat perlu diperhalusi dan menurut beliau, ia perlu diberikan secara bersasar kerana subsidi diberikan sekarang turut dinikmati golongan kaya dan industri.
Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2022 di sini pada Ahad, Anwar memberi jaminan subsidi masih akan diberikan kepada rakyat namun beliau mahu ia lebih bersasar.
Mengulas lanjut Mohd Yusof berkata, tempoh dua minggu yang diminta Perdana Menteri, dilihat agak singkat, dan beliau khuatiri langkah yang dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa akan menyebabkan tindakan yang kurang tepat dilaksanakan akhirnya.
“Kalau bercerita dari sudut praktikal, atau realistik, dan sedikit dengan pengalaman saya dalam kerajaan, dua minggu itu satu tempoh yang agak tenat.
“Terutamanya dalam tempoh nak buat tadbir urus, risau takut nanti ada cadangan yang diberi akhirnya salah rangka kerja. Lebih baik ambil sedikit masa tak apa, kalau boleh dibentangkan dekat Perdana Menteri satu dashboard keseluruhan ekonomi kita, daripada pengeluaran, banyak rantaian bekalan sampai ke pengguna,” katanya lagi.
Dengan pembentangan ekosistem subsidi, Mohd Yusof berkata, pembuat dasar boleh melihat di mana ketirisan, dan di mana keberkesanan yang perlu dipertingkatkan dalam proses pemberian subsidi bersasar.