Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat lalu, mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga tahun ini. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang menjadi penunjuk utama prestasi ekonomi, menunjukkan ekonomi pada suku ketiga itu berkembang sebanyak dua digit, iaitu 14.2 peratus berbanding sukuan sama pada 2021.
Prestasi itu ditegaskan Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi dan kewangan Malaysia pada 2022.
Untuk rekod, pertumbuhan KDNK pada suku ketiga tahun ini lebih tinggi daripada pertumbuhan pada suku pertama dan kedua tahun sama masing-masing mencatatkan 8.9 peratus serta 4.8 peratus.
Walaupun pertumbuhan KDNK dua digit pada suku ketiga tahun ini dipengaruhi asas nilai rendah pada suku ketiga tahun lalu, pertumbuhan ini didorong permintaan domestik kukuh terutama disokong penambahbaikan dalam pasaran buruh dan penjanaan pendapatan serta pengembangan dalam permintaan luar (eksport) disokong permintaan kukuh untuk produk elektrik dan elektronik.
Selain itu, sokongan dasar berterusan kerajaan terutama dalam mendepani situasi ketidaktentuan ekonomi global turut memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi.
Kestabilan politik penentu utama lonjakan pertumbuhan ekonomi berterusan sejak awal tahun ini. Sebelum ini, kita lihat bagaimana ketidak-stabilan politik menyebabkan gangguan ketara kepada corak pertumbuhan ekonomi Malaysia sepanjang tempoh 2018 hingga 2022.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Malaysia mengalami pertukaran tiga Perdana Menteri daripada parti politik berbeza, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) antara Mei 2018 hingga Februari 2020; Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) antara Mac 2020 hingga Ogos 2021 dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak Ogos 2021 hingga sekarang.
Pengaruhi turun naik pertumbuhan ekonomi
Tempoh pemerintahan ketiga-tiga pemimpin ini mempengaruhi turun naik pertumbuhan ekonomi seperti dapat dilihat dalam gambar rajah menunjukkan KDNK Malaysia terjejas akibat krisis politik, ekonomi dan kesihatan mendorong kepada kejatuhan besar dalam KDNK.
Tempoh bermula suku pertama 2020 dengan pandemik COVID-19 mula merebak ke seluruh dunia juga menjadi masa berakhirnya tempoh pemerintahan PH. PN mengambil alih sebagai parti pemerintah mulai Mac 2020. Dalam tempoh itu, penurunan besar KDNK tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan langkah penutupan ekonomi diambil ketika itu.
BN diterajui Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran pada suku ketiga tahun lalu dan kita dapat lihat KDNK kembali pulih serta menunjukkan peningkatan semula.
Dengan mengira perbezaan antara nilai KDNK diramal dan sebenar, kami mendapati ketika pemerintahan PN, jurang KDNK semakin melebar, manakala semasa pemerintahan BN, jurang KDNK semakin mengecil.
Ini menunjukkan keberkesanan dasar dan usaha BN membawa ekonomi Malaysia kembali ke landasan. Walaupun pertumbuhan kembali menghampiri paras trajektori sebelum krisis, tahap kehilangan KDNK potensi dianggarkan mengalami RM365 bilion ketika PN dan RM198 bilion ketika BN.
Apabila KDNK kembali pulih dan meningkat di bawah BN, nilai kehilangan KDNK berpotensi semakin menguncup.
Kerajaan sedar pertumbuhan ekonomi tinggi pada suku ketiga tahun ini mungkin tidak dapat diterjemahkan sepenuhnya kepada taraf hidup lebih baik bagi sesetengah segmen Keluarga Malaysia.
Kedudukan inflasi meningkat melepasi 4 peratus setiap bulan sejak April lalu menyumbang kepada tekanan kos sara hidup. Kenaikan inflasi didorong terutama faktor luaran dengan pemulihan perlahan daripada kesan perang Russia-Ukraine, dasar domestik kerajaan China, tekanan inflasi semakin mendalam dan krisis kos sara hidup bagi rakagangan utama.
Dalam menangani kenaikan kos sara hidup, kerajaan mengambil beberapa langkah utama untuk menstabilkan harga makanan dengan memberi subsidi kepada pengeluar dan mengekalkan harga bahan api dengan perbelanjaan subsidi kerajaan.