Skip to main content

Negara memerlukan ekosistem politik yang stabil dalam menghadapi cabaran ekonomi mendatang. – Foto 123RF

NEGARA memerlukan ekosistem politik yang stabil dalam menghadapi cabaran ekonomi mendatang, kata penganalisis ekonomi.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, dengan pertumbuhan ekonomi dunia yang bergerak perlahan serta fasa krisis ekonomi global pada tahun hadapan, ia menjadi penguat utama pembubaran Parlimen.

“Ia bertujuan menyediakan persekitaran politik yang stabil untuk memastikan Malaysia telah bersedia menghadapi krisis ekonomi tahun hadapan,” katanya dipetik dalam artikel tulisannya bertajuk ‘Keperluan Kestabilan Kerajaan Mendepani Krisis Ekonomi 2023-2024’.

Menurut Mohd Yusof, negara memerlukan tadbir urus ekonomi yang cekap dalam pemulihan ekonomi Malaysia.

“Ekonomi dunia menunjukkan unjuran pertumbuhan bertumbuh pada kadar 2.9 peratus pada 2022 berbanding unjuran awal 5.7 peratus dan situasi ini tidak jauh berbeza pada 2023 dan 2024 di mana unjuran ekonomi dunia hanya pada kadar 3 peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata, sebuah negara kecil yang terbuka dan berdagang, kelembapan ekonomi dunia akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang akan menarik ke bawah proses pemilihan ekonomi secara menyeluruh termasuk ‘pemulihan’ kos sara hidup.

Katanya, persekitaran politik tidak menentu bersama kejatuhan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19 memberi tekanan kuat kepada Malaysia menyebabkan penguncupan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus, iaitu perkara ini tidak pernah berlaku sejak kemerdekaan negara.

Ini katanya disebabkan oleh tadbir urus ekonomi tidak cekap semasa tempoh pandemik seperti langkah penutupan perniagaan yang lama tanpa mengira aspek sosioekonomi.

Sementara itu, ahli ekonomi EU-ERA Prof Muzafar Shah Habibullah berkata, kestabilan politik amat penting sekiranya rakyat Malaysia ingin mengecapi kehidupan selesa dan taraf hidup yang baik setidak-tidaknya kembali seperti sebelum pandemik Covid-19.

“Kajian membuktikan bahawa kestabilan politik dapat membawa pertumbuhan ekonomi sesebuah negara kepada yang lebih tinggi dengan satu peratus peningkatan kestabilan politik akan meningkatkan 0.25 peratus pertumbuhan ekonomi dan satu peratus peningkatan dalam keberkesanan kerajaan akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 0.61 peratus,” katanya.

Katanya, pertumbuhan unjuran KDNK sebanyak 5.0 setahun, kadar pengangguran 4.0 peratus juga meningkatkan purata upah dan gaji pekerja seperti dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) memerlukan pemerintahan kerajaan yang berupaya, berdedikasi dan berpengalaman untuk memacu ekonomi negara ke tahap pertumbuhan tersebut.

Muzafar Shah berkata, kerajaan yang cekap, berpengalaman dan stabil dengan dasar berkesan sudah tentu dapat mengekalkan inflasi pada purata 2.7 peratus; juga dasar yang menyokong pasaran buruh akan dapat meningkatkan purata upah dan gaji pekerja untuk tempoh 2022-2025 pada tahap lebih baik.

Beliau berkata, kajian juga menunjukkan bahawa kestabilan politik boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, selain keberkesanan kerajaan membawa ekonomi negara pada tingkat pertumbuhan yang lebih baik.

“Rakyat Malaysia lebih arif dan belajar bahawa kestabilan politik itu sangat penting sekiranya rakyat ingin mengecapi kehidupan selesa dan taraf hidup lebih baik setidak-tidaknya ke aras kehidupan sebelum pandemik Covid-19,” katanya.

Source : SINAR HARIAN

Leave a Reply