Buku Belanjawanku terbitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyediakan panduan asas kewangan kepada individu dan isi rumah berkaitan keperluan minimum perbelanjaan bagi menjalani kehidupan selesa di bandar utama di negara ini. Terbitan ini dari satu sudut mengesahkan kedudukan kos sara hidup tinggi di bandar utama kita.
Walaupun kajian dan isi kandungan Belanjawanku ini tidak mengambil kira aspek pendapatan dan pekerjaan secara langsung, semakan silang ke atas perangkaan gaji serta upah cukup memberi petunjuk kepada wujudnya jurang pendapatan dan perbelanjaan melebar.
Bagi kumpulan individu atau isi rumah berpendapatan rendah, mereka perlu melakukan kerja sampingan bagi menampung keperluan hidup seharian.
Seluruh rakyat mendambakan satu penyelesaian ampuh kepada isu kos sara hidup. Rakyat meletakkan harapan besar kepada bahu kerajaan bagi memastikan perubahan benar-benar berlaku.
Dari perspektif ekonomi, kos sara hidup merujuk kepada tahap kuasa beli isi rumah setelah mengambil kira kadar inflasi dan peningkatan pendapatan. Kos sara hidup tidak menjadi masalah kepada isi rumah dan sesebuah negara jika kadar pendapatan meningkat lebih tinggi berbanding dengan inflasi.
Namun, ekonomi Malaysia mengalami keadaan sebaliknya, iaitu kadar pendapatan isi rumah bertumbuh lebih perlahan berbanding inflasi, terutama bagi golongan M40 dan B40. Situasi ini bukan fenomena baharu dan bukan juga hanya muncul selepas pandemik COVID-19, bahkan sudah menjadi perbincangan sejak 2015. Namun, pascapandemik COVID-19 meruncingkan lagi kedudukan kos sara hidup di negara ini.
Menangani peningkatan kos sara hidup memerlukan mempertimbangkan kedua-dua perbelanjaan dan tahap pendapatan. Sekadar menyediakan garis panduan untuk perbelanjaan mungkin tidak menangani jurang pendapatan atau ketidakupayaan sesetengah individu atau isi rumah untuk memenuhi keperluan asas mereka disebabkan gaji rendah atau peluang pekerjaan terhad.
Menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup memerlukan pendekatan menyeluruh menggabungkan pelbagai strategi. Ini boleh termasuk langkah seperti meningkatkan gaji minimum, melaksanakan program kebajikan sosial bersasar, menggalakkan inisiatif perumahan mampu milik, meningkatkan akses penjagaan kesihatan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Isu perlu ditangani sepenuhnya
Adalah penting untuk menyedari bahawa peningkatan kos sara hidup adalah isu kompleks yang tidak dapat ditangani sepenuhnya oleh satu penyelesaian sahaja.
Walaupun garis panduan perbelanjaan boleh menjadi sebahagian penyelesaian, ia harus dilengkapi dengan dasar dan campur tangan lebih luas yang menangani ketidaksamaan pendapatan, kemampuan dan cabaran ekonomi sistemik untuk mewujudkan masyarakat lebih mampan dan inklusif.
Satu penyelesaian pragmatik melalui pendekatan holistik diperlukan jika kita mahu benar-benar isu kos sara hidup ini ingin dinoktahkan pada masa hadapan. Penilaian penulis mendapati pendekatan diambil pada ketika ini dalam menangani kos sara hidup masih tidak bersifat menyeluruh dan terangkum.
Contohnya, pada ketika ini intevensi kos sara hidup lebih terarah kepada instrumen dasar fiskal. Insrumen dasar kewangan dilihat lebih berpihak kepada aktiviti perniagaan berbanding menangani masalah kewangan rakyat.
Amat sedikit sekali kita mendengar pihak mengaitkan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dengan kos sara hidup sedangkan kedua-duanya berkaitan antara satu sama lain.
Isu pemilikan dan kadar sewaan rumah juga penting untuk diambil perhatian. Mempromosikan inisiatif rumah mampu milik seperti subsidi, langkah kawalan sewa atau projek pembinaan rumah mampu milik, boleh membantu mengurangkan kos perumahan yang semakin meningkat.
Dengan memastikan ketersediaan pilihan rumah mampu milik dan layak, individu dan keluarga boleh memperuntukkan sebahagian kecil daripada pendapatan mereka untuk perbelanjaan perumahan, membebaskan sumber untuk keperluan lain.
Mengimbangi kos sara hidup melalui peningkatan gaji adalah strategi mampan kepada ekonomi. Ini boleh dilaksanakan melalui penyelarasan peraturan gaji minimum dan model upah progresif secara berkala bagi memastikan pekerja menerima pendapatan yang adil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Menetapkan tahap gaji minimum yang sejajar dengan kos sara hidup boleh membantu menangani jurang pendapatan dan menyediakan taraf asas kehidupan untuk pekerja.
Kerajaan perlu menentukan keutamaan intervensi dasar dari sudut manakah yang memberi kesan cepat dalam mengimbangi kos sara hidup. Pendekatan harga (perbelanjaan) atau pendekatan pendapatan?
Namun, kedua-duanya perlu bergerak secara serentak agar isu ini dapat ditangani sepenuhnya di masa hadapan. Intervensi ke atas kedua-dua pendekatan akan memberi implikasi kepada pengeluar, tetapi memberi pulangan yang lebih baik pada masa hadapan. Analoginya, paracetamol adalah pahit, namun memberi kelegaan kepada sakit kepala.
Penulis ingin memberi pendedahan kepada pihak bertanggungjawab dalam menangani kos sara hidup berkenaan pendekatan 'rawatan' yang tidak menyakitkan, tetapi berkesan dalam jangka panjang. Rawatan ini sudah terbukti berjaya di negara maju. Antara rawatan berkenaan ialah peningkatan produktiviti dan reformasi percukaian.