KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited membangunkan kawasan luar bandar khususnya dari segi penyediaan infrastruktur serta bantuan langsung kepada golongan rentan dalam usaha mengembangkan kek ekonomi serta memanfaatkan 8.1 juta penduduk di kawasan itu.
Untuk itu, di bawah Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu, lebih RM10.93 bilion diperuntukkan bagi pembangunan luar bandar, lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, seiring hasrat kerajaan untuk merapatkan lagi jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata tumpuan kepada pembangunan infrastruktur di luar bandar amat penting bagi merancakkan pembangunan ekonomi di kawasan itu.
Beliau yang juga Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) berkata, peruntukan RM2.55 bilion bagi menambah baik kemudahan infrastruktur di luar bandar adalah langkah utama yang mampu menarik pelaburan dan industri baharu untuk bertapak di kawasan berkenaan.
“Melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan peruntukan RM472 juta, RM381 juta bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif serta RM123 juta bagi Projek Lampu Jalan Kampung akan menyediakan kawasan luar bandar untuk menerima pembangunan ekonomi dengan lebih cepat.
“Selain infrastruktur ini yang memberi manfaat besar kepada penduduk, mereka juga akan merasai limpahan ekonomi menerusi kewujudan industri baharu yang diterjemah kepada peluang pekerjaan,” katanya kepada BH.
Mohd Yusof berkata, pembangunan ekonomi di luar bandar bukan sahaja akan mengurangkan penghijrahan penduduknya ke bandar, malah menarik warga bandar untuk bekerja di luar bandar, sekali gus mengurangkan masalah perbandaran yang sedang dihadapi seperti kesesakan.
Pendekatan komprehensif
Bagi Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, peruntukan pembangunan luar bandar menerusi Bajet 2023 menyaksikan pendekatan serius dan komprehensif kerajaan untuk menangani isu kemiskinan golongan rentan di luar bandar.
Sebagai contoh, katanya, peruntukan untuk golongan itu dinaikkan sebanyak RM1 bilion kepada RM2.5 bilion pada 2023 bagi memastikan 450,000 isi rumah mendapat mendapat bantuan bulanan dan tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Inisiatif Skim Perlindungan Nasional (MySalam) juga terbukti amat penting diteruskan seperti yang dirancang dalam bajet kerana pada tahun ini, RM734 juta disalurkan kepada 1.5 juta individu B40 yang mengalami pelbagai penyakit kritikal.
“Langkah ini bukan sahaja akan memastikan ekonomi rakyat terjaga, tetapi kesihatan mereka juga mempunyai perlindungan insurans,” katanya.
Peningkatan elaun sara hidup nelayan kepada RM300 sebulan dan RM250 bagi nelayan darat turut disifatkan beliau bantuan yang amat diperlukan golongan itu, sehingga penyelesaian jangka panjang dilaksanakan untuk mereka.
“Penyelesaian itu membabitkan keupayaan nelayan ini membekalkan ikan terus kepada pengguna tanpa bergantung kepada orang tengah yang banyak mengambil keuntungan.
“Mungkin penggunaan teknologi pada masa hadapan akan membolehkan nelayan menikmati hasil yang lebih lumayan tanpa perlu elaun sara hidup ini lagi,” katanya.
Menerusi Bajet 2023, kerajaan turut meningkatkan peruntukan bagi membina dan membaik pulih rumah penduduk di luar bandar, daripada RM361 juta kepada RM460 juta, selain subsidi bil elektrik RM40 diperluaskan kepada kumpulan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK Makanan) 2019.
Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud pula berkata, peruntukan yang diumumkan kerajaan memang baik untuk kawasan luar bandar dan meneruskan kelangsungan hidup bagi golongan B40.
Beliau berkata, keupayaan kerajaan dalam meningkatkan peruntukan pembangunan kawasan luar bandar dan membantu nelayan serta golongan B40 adalah wajar kerana mereka di luar bandar lebih terjejas dengan kenaikan kos sara hidup, ditambah pula dengan pendapatan yang tidak stabil dengan sumber pendapatan lain agak sukar.
“Ia juga mampu merancakkan ekonomi luar bandar, sekali gus memberi manfaat pada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, nelayan di Kuala Nerus, Terengganu, Mazlan Ibrahim, 55, berkata kerajaan Keluarga Malaysia begitu komited dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar dan membantu meringankan beban rakyat, terutama golongan nelayan dan B40.
“Elaun sara hidup diterima sebanyak RM300 sebulan meringankan beban dan membantu saya membeli keperluan seperti minyak petrol untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.
“Kami bersyukur kerajaan tidak melupakan bantuan untuk kami dengan keadaan ekonomi sekarang, selain harga barang yang makin meningkat.
“Keadaan semakin sukar apabila tibanya musim tengkujuh apabila kami tidak dapat turun ke laut,” katanya yang ditemui di Kampung Seberang Takir, di sini.
Syukur, berterima kasih
Mazlan Muda, 44, berkata pendapatannelayan tidak menentu dan bergantung kepada hasil tangkapan, namun amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang masih mengekalkan elaun RM300.
Bagi penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Maziah Jusoh, 69, beliau menerima bantuan bulanan RM200 sejak 10 tahun lalu.
“Saya tidak tahulah masa depan dan kehidupan saya sekiranya tidak menerima bantuan bulanan ini kerana saya hanya meraih pendapatan RM20 sehari sebagaPendekatan komprehensif
i pembantu di tempat pemprosesan belacan,” katanya.
Penduduk Kampung Batin, di sini, Mamat Hassan, 69, pula berkata dia tidak lagi mampu untuk melakukan pekerjaan berat kerana faktor kesihatannya yang kurang sihat.
“Jadi, bantuan RM200 yang diterima dari JKM sedikit sebanyak memberi kelegaan buat saya. Kalau kata cukup, memang tidak cukup, tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan harian,” katanya.