Skip to main content

(Gambar fail) Bendera Parti Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghiasi sepanjang jalan Sepang, Selangor Darul Ehsan ketika tinjauan perang bendera parti sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU). – NSTP/Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu perlu dibentuk pada kadar segera pasca Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) untuk mengelakkan situasi Parlimen tergantung yang terlalu lama sehingga menjejaskan penggubalan dasar dan perundangan negara serta keyakinan pelabur sehingga memberi impak buruk kepada ekonomi Malaysia.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata situasi Parlimen tergantung seboleh-bolehnya perlu dielakkan kerana sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, sebarang penggubalan dasar dan perundangan perlulah dibentangkan dan mendapat kelulusan parlimen.

“Jika Parlimen tergantung, maka tergantunglah penggubalan dasar dan perundangan negara. Contoh yang mudah adalah Bajet 2023 perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baharu. Jika tidak mendapat kelulusan Parlimen, bagaimana penggunaan wang kerajaan untuk pembayaran gaji perkhidmatan awam, bantuan tunai, perbelanjaan pembangunan boleh digunakan. Jika Parlimen tergantung, ia juga tidak baik kepada imej negara dan prospek pelaburan asing,” katanya kepada BH.

Mohd Yusof yang juga Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), berkata kepimpinan baharu yang terbentuk daripada kerajaan campuran selepas semua parti politik dan gabungan tidak mendapat majoriti mudah dalam PRU15 perlu melihat pengalaman yang berlaku empat tahun lalu.

Ini kerana, katanya, pengalaman kerajaan campuran yang berlaku pasca PRU14 memberi gambaran yang jelas berkenaan dengan impak kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita harap semua ahli politik mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Kerajaan baharu perlu memilih pasukan menteri yang berpengetahuan dalam bidang, cekap dan berintegriti. Kemungkinan sistem kuota parti akan digunakan dalam gabungan kerajaan, tetapi parti politik yang bertanggungjawab kepada negara perlu mengetengahkan mereka yang kompeten dan jangan terlalu menggunakan senioriti dan pengaruh politik sebagai kayu ukur.

“Ini bukan masa untuk ‘trial and error’ tetapi masa untuk bekerja memperbetulkan keadaan. Perkhidmatan awam adalah tunjang kepada pelaksanaan dasar kerajaan. Gangguan ke atas perkhidmatan awam seperti mana yang berlaku terdahulu memberi impak kepada keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan,” katanya.

Beliau yang Ketua Ekonomi Buruh merangkap Penasihat Menteri Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, barisan Kabinet baharu perlu memiliki formula terbaik untuk menangani kelembapan ekonomi dunia dua tahun akan datang yang bakal memberi tekanan kepada fiskal negara.

“Ekonomi Malaysia kembali bernafas pada awal tahun ini. Sebelum itu, keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat teruk akibat dikurung oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Kos pelaksanaan PKP kepada ekonomi sehingga kini masih ditanggung dan mengambil jangka masa panjang untuk pulih.

“Contoh mudah, kadar hutang bertambah akibat untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah kerana pelaksanaan PKP. Walaupun tidak semua dapat menikmati manfaat yang disalurkan kerajaan, negara berdepan dengan hutang yang bertambah. Kelembapan ekonomi dunia dua tahun akan datang memberi tekanan kepada fiskal negara.

“Adakah kita perlu kurangkan subsidi minyak dan bahan api? Kerajaan baharu perlu bertanggungjawab. Dan kerajaan bakal terbentuk adalah sebahagiannya yang turut terbabit dalam percaturan dasar yang membebankan ekonomi dan rakyat empat tahun yang lalu,” katanya.

Mohd Yusof berkata, terdapat dua perkara yang menjadi keutamaan yang perlu dilaksanakan kerajaan baharu untuk meneruskan agenda pemulihan ekonomi memandangkan dunia meramalkan 2023 bakal berlaku kemelesetan.

“Pertama, tahun 2023 dan 2024 ekonomi global dijangka bertumbuh lebih perlahan berbanding tahun 2021 dan 2022. Kebanyakan negara kuasa besar ekonomi terutamanya di Eropah dijangka mengalami kemelesetan dan keadaan ini sedang berlaku pada ketika ini.

“Sebagai sebuah negara kecil dan berdagang dengan negara-negara besar, Malaysia turut akan menerima impak daripada kelembapan ekonomi global ini. Apa yang berlaku pada ketika ini seperti inflasi dalam negara sebahagiannya dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Menyentuh perkara kedua yang perlu diberi tumpuan kerajaan pasca PRU15, beliau berkata, kepimpinan baharu perlu mengadakan pembaharuan struktur ekonomi dan mengukuh asas ekonomi Malaysia.

“Pembaharuan dan pengukuhan asas ekonomi adalah menjadi keperluan pada masa kini bagi memastikan Malaysia mampu menghadapi sebarang krisis di masa hadapan. Kita telah lihat betapa rapuhnya struktur pasaran buruh ketika menghadapi pandemik yang lepas.

“Kita juga telah lihat betapa terkesannya apabila kos import makanan meningkat kepada harga makanan domestik. Jadi ini adalah contoh kenapa asas atau pasak ekonomi kita perlu diperkukuh,” katanya.

Source : BH

Leave a Reply