Seremban: Negeri Sembilan menjadi negeri pertama di negara ini melancarkan Jadual Input-Output Negeri dan Daerah sebagai pangkalan data bagi kepentingan pembangunan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA).
Katanya, data dalam jadual berkenaan akan dapat membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan penggubalan dasar berasaskan bukti.
“Analisis daripada Jadual Input-Output ini membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti sektor ekonomi tumpuan yang boleh memberi impak kepada pelaburan dan pembangunan.
“Melalui jadual berkenaan itu juga, sesebuah sektor membabitkan ekonomi, sosial dan alam sekitar dapat dinilai secara holistik dan inklusif.
“Kerajaan negeri memberikan komitmen tinggi dalam usaha mentransformasi kaedah perancangan ekonomi ke arah memperkasa dan memperkukuh lagi asas ekonomi di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aminuddin berkata, melaluinya, intervensi yang lebih bersasar dan produktif dapat dijalankan dengan mengambil kira impak dan potensi sektor ekonomi.
Katanya, ia sekali gus membantu mengurangkan ketidakcekapan penggunaan sumber dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan secara keseluruhannya.
“Intervensi ini dapat memperkukuhkan pemantauan ekonomi peringkat sektoral melalui tindak balas antara penawaran dan permintaan.
“Hasil analisis Jadual Input-Output Negeri dan Daerah ini akan menjadi asas kepada penyediaan dokumen perancangan jangka sederhana, terutama Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021–2025,” katanya.
Aminuddin berkata, dokumen RPNS 2021-2025 mengandungi hala tuju dasar pembaharuan dan transformasi ke atas ekonomi negeri, serta bertindak sebagai pelengkap kepada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Beliau berkata, RPNS 2021-2025 diformulasikan berdasarkan tiga fokus utama iaitu kemampanan ekonomi, kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, ia sebagai pemangkin kepada dasar yang berfungsi sebagai asas bagi menyokong pembangunan negeri untuk tempoh 2021 sehingga 2025.
“RPNS 2021-2025 ini adalah manifestasi kerajaan negeri dalam merealisasi konsep Kemakmuran Bersama 2030.
“Rancangan jangka panjang itu bakal membawa Negeri Sembilan ke tahap yang lebih berdaya saing seiring dengan matlamat pembangunan Negeri Sembilan Maju pada tahun 2030 dan Negeri Sembilan Moden pada tahun 2045,” katanya.