Kuala Lumpur: Kewujudan, peranan dan keberkesanan badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan berkait pengguna yang menerima geran kerajaan wajar dinilai semula.
Mendesak perkara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata kewujudan persatuan pengguna dapat dinilai jika isu harga barangan dapat dikawal dan diturunkan pada kadar menang-menang antara pengeluar dan pengguna.
Beliau berkata, isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berlaku saban tahun terutama ketika perayaan dan mengharapkan hanya kerajaan semata-mata untuk mengadakan kawalan dan pemantauan adalah tidak memadai.
“Persatuan pengguna dilihat lebih bersifat pasif dan tidak responsif kepada peningkatan harga.
“Contoh yang paling mudah ketika kerajaan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dulu. Hampir tiada persatuan pengguna setempat, negeri atau nasional yang yang aktif membantu pengguna memberi didikan kepenggunaan berkenaan dengan barang yang tidak dikenakan GST.
“Kini ketika umat Islam menyambut Ramadan, isu kenaikan harga menekan pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Tiada persatuan pengguna yang tampil memberi didikan kepenggunaan bagi tindak balas ke atas gelagat pengeluar,” katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada persatuan pengguna melaksanakan peranan sebaiknya dalam menangani isu kepenggunaan khususnya kenaikan harga barangan yang tidak berkesudahan.
Mohd Yusof berkata, justeru perlu dinilai semula peranan dan kewujudan persatuan-persatuan pengguna di Malaysia.
“Keberkesanan kewujudan persatuan pengguna dapat dinilai jika isu harga ini dapat dikawal dan diturunkan pada kadar menang-menang antara pengeluar dan pengguna.
“Persatuan pengguna perlu pembaharuan, perlukan kepimpinan dan ahli yang mempunyai ilmu ekonomi dan berani bertindak menjaga kebajikan pengguna,” katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sebagai NGO peranan FOMCA terhad kepada memberi nasihat dan didikan selain menyalur aduan pengguna kepada pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
“Isu kenaikan harga barangan ini berlaku saban tahun dan hanya agensi kerajaan yang mempunyai kuasa bagi melaksana pemantauan dan mengambil tindakan.
“Kami menerima lebih 60 aduan sehari dengan sebahagian besarnya membabitkan harga barangan naik, yang kemudian disalur untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
“Pengguna juga perlu tahu bahawa FOMCA tiada kuasa untuk meminta peniaga turunkan harga serta-merta, sebaliknya kami hanya pemudahcara antara pengguna dan kerajaan,” katanya.