Skip to main content

KES jangkitan COVID-19 masih tinggi daripada jangkaan nilai ambang dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberikan kesan kepada pergerakan aktiviti ekonomi. Ini dijangka akan memberikan kesan geseran agak ketara dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

Namun, peranan rantaian perbekalan domestik amat penting untuk memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan. Tidak dinafikan penutupan aktiviti ekonomi tidak perlu, sedikit sebanyak merencatkan aliran rantaian perbekalan dan usaha pemulihan ekonomi akan terjejas.

Pemberian insentif sedang dilaksanakan kini seperti Geran Khas Prihatin (GKP) adalah wajar dan dapat membantu menjana semula ekonomi dalam jangka pendek, sekali gus merangsang kelangsungan perniagaan.

Bagaimanapun, insentif ini tidak akan membuahkan hasil baik sekiranya aliran perbekalan masih disekat kepada sektor tertentu sahaja.

Realitinya, aktiviti ekonomi tidak berkelompok pada sesuatu industri sahaja. Penggunaan input oleh satu industri daripada industri lain mewujudkan rantaian perbekalan dan menunjukkan kebergantungan antara industri terbabit.

Aliran perbekalan itu bukan sahaja membabitkan aliran input antara industri, malah berkaitan industri antara wilayah. Contohnya, industri di Selangor tidak semestinya mendapatkan sumber bekalan bahan mentah daripada industri di negeri berkenaan sahaja.

Tidak dinafikan dalam dunia perniagaan semakin kompleks kini, aliran input turut membabitkan beberapa wilayah berbeza dalam penghasilan satu produk akhir. Justeru, penutupan aktiviti ekonomi di satu wilayah akan menjejaskan aktiviti ekonomi di wilayah lain.

Antara usaha boleh dilakukan kerajaan pada jangka pendek adalah membenarkan aktiviti ekonomi di negeri dengan kadar jangkitan rendah. Strategi penutupan aktiviti ekonomi secara ‘pukul rata’ dilihat tidak sesuai dilaksanakan.

Inisiatif pendigitalan perniagaan sebanyak RM200 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan tambahan RM100 juta bagi Geran Digitalisasi PKS dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (​PEMULIH) ialah tindakan jangka pendek yang boleh membawa kesan jangka panjang.

Namun, sekiranya aliran perbekalan produk fizikal masih tidak berjalan dengan baik, penawaran barangan turut terjejas dan proses digitalisasi tidak akan berkesan.

Dalam jangka sederhana, kerajaan perlu mewujudkan pangkalan data rantaian perbekalan pada peringkat negeri dan wilayah.

Kajian terkini di luar negara menunjukkan keperluan melihat rantaian nilai pada peringkat unit geospatial lebih mikro, bermula peringkat negeri ke wilayah kecil.

Contohnya, di China dan Jerman, pangkalan data pada peringkat perbandaran diwujudkan bagi melihat faktor penawaran dan permintaan ekonomi di lokatili tertentu. Justeru, sekiranya berlaku kejutan ekonomi, pihak berkepentingan dapat memantau dan mengambil tindakan mitigasi sewajarnya.

Dalam jangka panjang pula, pengurangan kebergantungan import dan meningkatkan kapasiti pengeluaran industri domestik adalah langkah baik. Namun, hal ini tidak hanya membabitkan perancangan pada peringkat nasional, malah perlu mendapat sokongan pada peringkat negeri.

Perancangan ekonomi pada peringkat negeri perlu diintegrasikan dengan aspirasi nasional bagi mendapatkan impak ekonomi lebih tinggi, sekali gus merapatkan jurang ketidakseimbangan pendapatan antara wilayah.

Sumber : bharian.com.my

Leave a Reply