PADA 15 Mei 2023 yang lalu, kerajaan telah mengaktifkan semula fungsi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
MTEN adalah majlis penasihat ekonomi tertinggi kepada Kerajaan yang meneraju perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ekonomi negara secara menyeluruh.
Pada mesyuarat berkenaan, MTEN telah membincangkan dasar berkaitan tiga fokus utama ekonomi iaitu mengukuhkan kedudukan fiskal negara, menambah hasil Kerajaan dan menstrukturkan ekonomi negara ke arah ekonomi bernilai tinggi.
Tiga fokus ini bersifat intervensi dasar jangka sederhana dan jangka panjang.
MTEN juga perlu proaktif dan responsif kepada intervensi jangka pendek yang dipengaruhi oleh kitaran turun naik permintaan dan penawaran di pasaran. Jika tidak ditangani secara berkesan, pengaruh kitaran ini berpotensi menjadi isu struktural yang “melekat” berpanjangan dalam ekonomi.
Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah prestasi Ringgit yang menunjukkan trend penyusutan dalam pasaran. Memang benar penyusutan Ringgit ini telah berlaku sebelum tempoh pandemik lagi. Tetapi membiarkannya terus menyusut bukan satu strategi yang baik.
Setiap negara mengamalkan dasar memastikan prestasi mata wang mereka adalah stabil dan berdaya saing. Secara prinsipnya, kita tidak boleh membiarkan mata wang terus menyusut dan berada dalam keadaan ketidaktentuan yang tinggi.
Dari perspektif eksport, penyusutan Ringgit bermakna bahawa nilai barangan Malaysia menjadi lebih murah dan ini akan meningkatkan permintaan ke atas barangan keluaran Malaysia.
Walaubagaimanapun, penyusutan Ringgit bermakna kos import menjadi lebih mahal apabila lebih banyak Ringgit diperlukan bagi mendapatkan barangan dari negara lain.
Jika dilihat pada gambarajah di bawah, memang jelas negara menghadapi situasi lebihan ekport (eksport melebihi import) pada ketika nilai Ringgit menunjukkan trend penurunan. Jadi, situasi Ringgit pada ketika ini tidak membimbangkan kerana memberi kelebihan kepada Malaysia.
Adakah hubungkait ekonomi ini cukup untuk kita membuat keputusan berkaitan dengan prestasi Ringgit?
Jawapannya adalah tidak. Biar saya berikan sedikit pencerahan agar kita lebih berhati-hati dalam membuat penilaian. Lebihan eksport tersebut hanya menunjukkan jumlah nilai eksport dan bukannya penjanaan nilai bagi setiap Ringgit yang kita eksport.
Penggiraan kami mendapati setiap Ringgit yang kita eksport, hanya 47 sen secara purata nilai yang dijana dalam bentuk nilai ditambah. Untuk manfaat pekerja pula, mereka hanya memperoleh secara purata 22 sen bagi setiap Ringgit nilai eksport.
Seterusnya, negara bergantung tinggi kepada import barangan dan perkhidmatan. Isi rumah terkesan secara langsung apabila mereka berbelanja ke atas barangan yang diimport kerana kos barangan tersebut telah meningkat akibat inflasi import.
Isi rumah turut terkesan secara tak langsung apabila berbelanja barangan yang dikeluarkan dalam negara. Hal ini kerana kos pengeluaran barangan tersebut turut terkesan akibat daripada peningkatan dalam kos bahan mentah yang diimport.
Kami di THE FUTURE pada 17 Mei 2023 yang lalu juga telah mendapati bahawa prestasi Ringgit mempengaruhi secara langsung inflasi dalam negara.
Dua perkara utama yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Pertama, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa penyusutan mata wang yang berterusan boleh membawa kesan negatif kepada ekonomi. Jika kadar susut nilai terlalu tinggi, ia boleh menunjukkan ketidakcekapan dalam tadbir urus ekonomi.
Gambarajah di atas jelas menunjukkan kedudukan penyusutan nilai Ringgit yang kekal berpanjangan sejak tahun 2015. Kedua, perlu diingat bahawa impak susut nilai terhadap daya saing tidak seragam merentas sektor dan kumpulan isi rumah.