PETALING JAYA, 5 November – Melihat kepada pentingnya produktiviti dalam memperkukuh dan mentransformasi ekonomi Malaysia, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah menjalinkan kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Kajian Masa Depan Berhad (THE FUTURE).
MPC berkata anjakan produktiviti memerlukan pendekatan anjakan keseluruhan ekonomi yang merentas sektor dan agensi.
Situasi tersebut juga memerlukan kepada penetapan kerangka asas produktiviti yang ditentukan bersandarkan kepada penilaian berasaskan bukti.
“MOU ini menzahirkan kerjasama strategik di antara MPC dan THE FUTURE dalam bidang penyelidikan, latihan dan penerbitan dalam bidang yang berkait dengan peningkatan daya saing ekonomi, pembangunan bakat masa hadapan, teknologi, perancangan ekonomi spatial dan sektor tumpuan khusus.
“Melalui kerjasama strategik ini, MPC berpeluang mendapat manfaat dengan memperoleh pandangan dan kepakaran yang berharga, yang akhirnya dapat menyumbang kepada transformasi dan pertumbuhan ekonomi negara,” kata MPC menerusi kenyataan.
THE FUTURE merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah undang-undang Malaysia dengan misi untuk menggabungkan pendekatan saintifik dan empirikal ke dalam pembangunan dasar semasa yang meliputi ekonomi rakyat, peningkatan pertumbuhan dan ekonomi modal.
Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) beroperasi sebagai bahagian nukleus dalam THE FUTURE yang memfokuskan kepada penyelidikan dan analisis pasaran buruh.