KUALA LUMPUR: Malaysia belum bersedia melaksanakan dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti yang mula dilaksanakan di beberapa negara maju, berikutan faktor produktiviti yang rendah serta struktur ekonomi yang berteraskan buruh.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata secara umumnya, tempoh bekerja tidak menjadi penentu utama kepada kadar produktiviti atau `output’ pekerja.
Bagaimanapun, katanya, isu produktiviti rendah yang dialami di Malaysia mencetus persoalan, khususnya dalam kalangan majikan, sama ada pengurangan hari bekerja akan menyebabkan produktiviti terus merosot atau sebaliknya.
“Bagi pihak majikan, apa yang penting adalah produktiviti atau `output’. Jika ia dapat dicapai, tempoh bekerja tidak berbangkit dan mungkin boleh disingkatkan, sekali gus mengurangkan kos operasi pejabat.
“Namun, bagi Malaysia, kita menghadapi isu produktiviti keseluruhan yang masih jauh lebih rendah berbanding negara jiran. Jika berbanding Singapura, produktiviti Malaysia hanya satu perempat.
“Isunya sama ada ia akan terus merosot jika hari bekerja dikurangkan. Namun, ada kemungkinan jika motivasi pekerja meningkat (akibat pengurangan hari bekerja), produktiviti akan lebih tinggi,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, media melaporkan kaji selidik oleh syarikat Qualtrics mendapati, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu, berbanding lima hari ketika ini.
Kebanyakan responden percaya, bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup bekerja (86 peratus), kesejahteraan mental (82 peratus) dan produktiviti (83 peratus), selain membuat mereka rasa lebih setia kepada majikan mereka.
Mengulas lanjut, Barjoyai menyarankan kerajaan dan sektor pekerjaan di Malaysia menjalankan kajian untuk mengenal pasti tahap kebolehlaksanaan tempoh bekerja empat hari, antaranya menerusi ‘eksperimen’ dasar bekerja secara hibrid atau tempoh jam bekerja yang fleksibel.
Menerusi kaedah hibrid, katanya, pekerja dibenarkan bekerja satu hari di rumah dan empat hari di pejabat, dan cuba mengenal pasti sama ada tugas di rumah itu boleh dilaksanakan dalam tempoh empat hari bekerja di pejabat.
“Bagi kaedah tempoh jam bekerja fleksibel, pekerja dibenarkan menyelaras masa bekerja harian bagi memenuhi keperluan tempoh bekerja 40 jam dalam seminggu.
“Contohnya, jika boleh bekerja 10 jam sehari iaitu antara jam 8 pagi hingga 6 petang sehari (tidak termasuk rehat), pekerja hanya perlukan empat hari untuk memenuhi keperluan 40 jam,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berpandangan ekonomi Malaysia belum bersedia dengan dasar empat hari bekerja dalam seminggu, antaranya kerana struktur ekonomi negara yang menyukarkan pelaksanaannya.
Katanya, ia berikutan Malaysia berintensifkan buruh, terutama bagi sektor pembuatan dan perladangan, yang memerlukan buruh berada di lokasi bagi memastikan kelangsungan pengeluaran output, seperti yang dipelajari ketika fasa Bekerja Dari Rumah (BDR).
Daripada perspektif daya saing ekonomi, katanya, dasar bekerja empat hari belum boleh dilaksanakan ketika ini kerana faktor ketidaktentuan ekonomi global, kekurangan buruh dan isu kos sara hidup, selain perlu menunggu ekonomi negata kembali stabil seperti sebelum pandemik COVID-19.
“Jika ia dilaksanakan ketika ini, negara perlu berdepan risiko kesan herotan ke atas pemulihan dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Mohd Yusof menyarankan Malaysia melaksanakan kajian menyeluruh mengenai kesan pelaksanaan dasar itu, khususnya membabitkan implikasi kepada pekerja dan majikan, serta kepada kerajaan dari aspek perundangan dan penguatkuasaan.
“Dasar empat hari bekerja ini juga boleh memberi implikasi ke atas tahap daya saing ekonomi negara, terutama dalam menarik pelaburan asing.
“Justeru, majikan dan kerajaan boleh melaksanakan kajian rintis bagi mengenal pasti kos dan faedah ekonomi pelaksanaan dasar ini,” katanya.