Kesan kerugian akibat bencana banjir mencecah berbilion ringgit. Pada 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara bernilai RM6.1 bilion meliputi kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan infrastruktur.
Justeru dalam Bajet 2023, kerajaan menyediakan peruntukan melebihi RM1 bilion untuk tujuan pelaksanaan projek tebatan banjir dan operasi serta misi bantuan bencana banjir.
Merujuk kepada kajian penyelidik dari Universiti Malaya (UM), episod bah di Terengganu pada 2014 dianggarkan mampu mengurangkan potensi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga 1.5 peratus.
Ini bermakna banjir berlaku saban tahun memberikan impak negatif kepada ekonomi disebabkan kerosakan harta benda, gangguan kepada kelancaran aktiviti ekonomi dan mengurangkan punca pendapatan rakyat.
Di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 menggariskan keperluan memperkukuh tadbir urus risiko bencana untuk mengurangkan kesan kepada kehidupan, kesihatan, alam sekitar dan ekonomi.
Dalam situasi semasa, negara memberikan fokus kepada intervensi jangka pendek dan panjang memberikan perlindungan kepada rakyat mudah terdedah kepada risiko banjir. Pemberian bantuan wang ihsan dan misi pengurusan banjir antara inisiatif dijalankan kerajaan.
Bagi membina daya tahan negara untuk beradaptasi dengan perubahan iklim, strategi jangka panjang diambil antaranya melalui pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir hingga 2030 bernilai RM15 bilion meliputi pelaksanaan projek tebatan banjir, pembinaan kolam takungan dwifungsi dan naik taraf sistem ramalan cuaca.
Pergiat inovasi baharu
Selain itu, inovasi baharu juga digiatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Menyedari impak bencana banjir bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa, perlindungan kepada pendapatan rakyat turut diberikan perhatian oleh kerajaan.
Sistem perlindungan sosial fleksibel melalui mekanisme pindahan risiko bencana, termasuk insurans risiko bencana akan dikaji pelaksanaannya bagi mengurangkan liabiliti pascabencana, selain membantu meringankan beban kewangan kerajaan.
Bagaimanapun, pengurusan krisis banjir memerlukan kepada satu ekosistem tadbir urus bersepadu dibentuk melalui pembabitan komitmen politik, serta penyertaan dan penyelarasan rangkaian pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.
Bagi merealisasikan sasaran jangka pendek dan panjang ini, negara memerlukan kerajaan stabil bagi memastikan pengurusan banjir boleh ditransformasikan kepada bentuk pengurusan holistik dan dilaksanakan secara mampan serta inklusif supaya kebajikan dan keselamatan rakyat terus terpelihara.