Kuala Lumpur: Bantuan kewangan dan insentif yang disediakan dalam Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia adalah tindakan bertanggungjawab oleh kerajaan untuk meringankan beban mereka yang terkesan.
Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, dengan jumlah bantuan yang melebihi RM10,000, tidak timbul lagi isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, terdahulu wujud desakan berbentuk populis yang bersifat penyelesaian jangka pendek yang akan memberi implikasi jangka panjang kepada pencarum KWSP.
“Alhamdulillah, kerajaan mengambil langkah proaktif dan mendengar pandangan rakyat, maka pakej bantuan ini diberikan.
“Dengan kadar jangka hayat penduduk yang meningkat dan kurangnya kadar caruman persaraan, ini mendedahkan pekerja kepada situasi yang getir apabila bersara kelak,” katanya.
Mohd Yusof berkata, hasil tinjauan pihaknya juga mendapati semakin ramai mereka yang berusia 65 tahun ke atas yang masih bekerja bagi menyara keluarga.
“Bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyatnya, maka wajar pengeluaran KWSP tidak diberikan tetapi sebaliknya kerajaan menggantikan dengan pakej bantuan kewangan yang lebih tinggi nilainya.
“Dalam masa yang sama, pakej bantuan ini sudah pasti memberi tekanan kepada fiskal kerajaan. Apatah lagi bencana banjir ini melanda negara saban tahun. Negara perlukan pendekatan baharu,” katanya.
Katanya, pendekatan digunakan bagi melindungi ekonomi mangsa banjir sama dan bersifat pasif.
“Bantuan yang bersifat ad-hoc dalam bentuk tunai dan barangan secara one-off adalah instrumen utama digunakan oleh pihak berwajib.
“Instrumen sebegini tidak mencukupi dan tidak mampan. Negara memerlukan pendekatan berbeza dalam menangani bencana banjir bagi mengurangkan risiko ekonomi dan melindungi pekerjaan,” katanya.
Katanya, bilangan orang yang terjejas dan kerosakan akibat banjir menunjukkan ketidakmampuan dalam menangani kejadian sedemikian.
Sementara itu, pengasas bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Adab Youth Garage, Muhammad Afiq Ramlee berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman bantuan oleh kerajaan itu bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.
“Kami harap permohonan bantuan itu dipermudahkan kepada mereka yang terjejas dalam bencana banjir itu supaya tidak berlaku keciciran dalam pemberian itu,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi akaun Twitternya semalam mengesahkan sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 28,287 mangsa bencana banjir menerima bantuan Wang Ihsan (BWI).
Beliau turut menyeru kepada orang ramai yang belum mendaftar atau menerima manfaat untuk segera menghubungi Pegawai Daerah anda untuk bantuan segera oleh kerajaan.
Syukur semua mangsa bakal terima bantuan
Mangsa banjir di daerah Dungun berterima kasih kepada kerajaan yang sanggup memberi bantuan kepada semua mangsa.
Jailina Abdullah, 40, berkata, bantuan yang diberikan itu membuktikan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat termasuk mangsa banjir sepertinya.
“Alhamdulillah syukur, saya sangat terharu apabila pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada mangsa banjir yang kini masih bersedih dengan tragedi yang berlaku.
“Biarpun kerosakan rumah penduduk yang ditimpa musibah banjir di sini tidak seteruk yang berlaku di negeri lain, namun kami sangat hargai dengan sumbangan dari kerajaan,” katanya yang juga mangsa banjir di Kampung Syukur.
Katanya, dia yang masih berada di Pusat Perpindahan Banjir (PPS) masih belum dapat menganggarkan jumlah kerugian dialami kesan bencana banjir yang berlaku kali ini.
Sementara itu, Wan Zurina Wan Akbar, 48, berita gembira daripada kerajaan itu satu perkhabaran baik sekaligus memberi semangat kepada mangsa banjir yang ditimpa musibah sepertinya.
Katanya, bantuan kerajaan itu wajar diterima baik semua pihak kerana kerajaan sanggup membantu mangsa banjir tanpa mengira mereka mengalami kerugian kecil atau serius.
“Saya percaya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob menyelami kesusahan yang berlaku kepada kami semua tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan kaum, “katanya.
Menurutnya, banjir kali ini bukan sahaja menyebabkan papan kayu di rumahnya tercabut malah merosakkan barangan perabot dan barangan elektrik.
“Kami tetap reda dengan apa yang berlaku namun tetap berterima kasih kepada pihak kerajaan yang tidak putus-putus membantu sepanjang kami berada di PPS ini, “katanya.
Sementara itu, beberapa mangsa banjir di Pahang turut bersyukur dengan bantuan disalurkan kerajaan.
Ibu tunggal Fatimah Yusof, 55, dari Kampung Batu Balai, Jerantut berkata, bantuan itu amat melegakannya kerana dapat membeli perkakas rumah yang rosak.
“Wang yang diterima akan digunakan sebaik mungkin terutamanya menggantikan beberapa barangan penting di rumah yang rosak akibat seperti dapur dan tong gas.
“Walaupun persiapan awal sudah dibuat, peningkatan air secara mendadak menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan yang ada,” katanya.
Bagi Che Abd Rahman Che Ismail, 60 dari Kampung Sempadan, Jerantut pula, wang itu akan digunakan membeli kelengkapan sekolah tiga anaknya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang yang mengambil berat masalah penduduk di luar bandar sepertinya.
“Bagi kami bantuan ini amat bermakna kerana dapat meringankan beban kerana hanya bergantung kepada hasil menoreh getah.
“Malah ketika ini kami tiada pendapatan kerana musim hujan dan air banjir pun masih belum reda, ” katanya ketika ditemui.
Penduduk Taman Seri Inderapura, Kuantan, Amir Saidon Md Yunus, 58, berkata bantuan disediakan kerajaan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa banjir yang menanggung kerugian harta benda.