SHAH ALAM – The Future Studies Berhad (The Future) menjangkakan kadar pengangguran bagi 2023 berada pada paras 3.8 peratus jika Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus.
Pengerusinya, Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata, kadar pengangguran tahun ini dijangka akan dapat dikurangkan pada paras lebih rendah jika ekonomi Malaysia berkeupayaan bertumbuh dengan kadar lebih tinggi.
Jelasnya, jika pertumbuhan KDNK 2023 mampu dicapai pada kadar 5.5 peratus, kadar pengangguran diunjur berkurangan kepada 3.6 peratus.
“Ini adalah antara hasil analisis “Assessing the 2023 Unemployment Outlook: Challenges and Opportunities Ahead ”, Vol. 2 No.1 yang dilaporkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa (EU-ERA) dalam siri penerbitan EU-ERA Policy Brief.
“Laporan tersebut juga menggariskan beberapa cadangan intervensi ekonomi bagi mempercepatkan penyerapan pekerjaan yang seterusnya dapat membantu mengurangkan lagi kadar pengangguran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, antara cadangan intervensi tersebut termasuk peningkatan gaji dan upah dan merangsang pertumbuhan sektor yang memiliki pengganda guna tenaga yang tinggi.
Jelasnya, selain itu, cadangan adalah mengutamakan segmen tenaga kerja belia, graduan, wanita dan pekerja yang berusia dan mengoptimumkan pendekatan pengambilan serta pemadanan pekerja yang inklusif.
”The Future berpandangan pemantauan berterusan kadar pengangguran adalah penting bagi penggubal dasar untuk membuat keputusan termaklum mengenai kesejahteraan ekonomi dan dasar aktif pasaran buruh.
“Ia membantu penggubal dasar mengenal pasti bidang keutamaan dan sokongan tambahan mungkin diperlukan,” ujarnya.
Menurut Mohamad Salmi, The Future menerusi EU-ERA berdedikasi untuk menjalankan penyelidikan dan analisis tentang landskap ekonomi dan pasaran buruh dengan matlamat untuk memaklumkan kepada penggubal dasar, perniagaan dan orang ramai tentang implikasi daripada perubahan ini.