SHAH ALAM – Tarikh 18 Disember 2021 akan terus diingati mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. Banjir besar yang berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur serta beberapa buah negeri lain itu menjadi titik tolak betapa perlunya persediaan rapi bagi membela nasib mangsa yang terlibat.
Justeru, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperkenalkan pembayaran inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir.
Pembayaran dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) yang menyalurkan wang kepada Pejabat Daerah dan Tanah negeri untuk diserahkan kepada mangsa.
Bantuan melibatkan:
– Pembelian barangan keperluan = RM2,500
– Rebat pembelian barangan elektrik = RM500
– Bantuan baik pulih rumah = RM5,000 hingga RM15,000
– Diskaun baik pulih kenderaan
Seorang lelaki membersihkan motosikalnya yang diselaputi lumpur selepas dua hari ditenggelami air di Shah Alam.
Kesan kerugian akibat bencana banjir pada Disember 2021 hingga Januari tahun ini dianggarkan mencecah berbilion ringgit.
Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Dr. Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara bernilai RM6.1 bilion meliputi kerosakan kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan infrastruktur.
Menurutnya, dalam Bajet 2023, kerajaan telah menyediakan peruntukan melebihi RM1 bilion untuk pelaksanaan projek tebatan banjir, operasi dan misi bantuan.
“Selain itu, merujuk kepada kajian penyelidik dari Universiti Malaya, episod banjir di Terengganu pada tahun 2014 mampu mengurangkan potensi keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sehingga 1.5 peratus.
“Ini bermakna banjir yang berlaku saban tahun memberi impak negatif kepada ekonomi disebabkan kerosakan harta benda, gangguan kepada kelancaran aktiviti ekonomi dan mengurangkan punca pendapatan rakyat,” katanya.
Jelasnya, di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 telah menggariskan keperluan memperkukuhkan tadbir urus risiko bencana untuk mengurangkan kesan kepada kehidupan, kesihatan, alam sekitar dan ekonomi.
“Dalam situasi semasa, negara fokus kepada intervensi jangka masa pendek dan panjang untuk memberi perlindungan kepada rakyat yang mudah terdedah kepada risiko banjir.
Dua beranak ini keluar mencari bantuan selepas bekalan makanan terputus akibat banjir.
“Pemberian bantuan wang ihsan dan misi pengurusan banjir antara inisiatif yang dijalankan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Menurut Muhammad Daaniyall, bagi membina daya tahan negara untuk beradaptasi dengan perubahan iklim, strategi jangka masa panjang telah diambil.
Antaranya, pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir sehingga tahun 2030 bernilai RM15 bilion merangkumi projek tebatan banjir, pembinaan kolam takungan dwifungsi dan naik taraf sistem ramalan cuaca.
“Selain itu, inovasi baharu juga sedang digiatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Menyedari impak bencana banjir bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa, perlindungan kepada pendapatan rakyat turut diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.
Sistem perlindungan sosial yang fleksibel melalui mekanisme pindahan risiko bencana, termasuk insurans risiko bencana akan dikaji bagi mengurangkan liabiliti pasca bencana, selain membantu meringankan beban kewangan kerajaan.
Namun katanya, pengurusan krisis banjir memerlukan satu ekosistem tadbir urus bersepadu yang dibentuk melalui penglibatan komitmen politik, penyertaan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.
Guna baiki rumah, kenderaan
CHE ROSLAN
Penduduk Taman Sri Muda Zon A, Che Roslan Che Mat, 46, berkata dia sekeluarga kerugian ribuan ringgit apabila peralatan rumah termasuk kenderaan rosak kerana ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah.
“Saya bersyukur kerana kerajaan beri bantuan lebih RM6,000 untuk baik pulih kenderaan dan rumah,” katanya yang mempunyai empat orang anak masih bersekolah.
Seorang lagi penduduk Taman Sri Muda, Fong Kok Kiong, 72, bersyukur kerana memperolehi bantuan ihsan daripada kerajaan sebanyak RM1,000.
“Wang bantuan ini paling awal saya terima, kemudian saya dapat sumbangan pembelian barangan keperluan asas bernilai RM2,500,” katanya.
Jelasnya, bantuan itu digunakan untuk membeli ubat dan makanan serta menggantikan peralatan rumah yang rosak ditenggelami air.
Sementara itu, kejadian banjir di Sungai Buloh, Selangor pada Januari tahun ini telah menyebabkan beberapa buah kampung turut ditenggelami air.
Penduduk Kampung Kubu Gajah, Hazizul Sarman, 34, berkata, kejadian itu menyebabkan peralatan rumahnya musnah.
“Alhamdulillah, dengan bantuan segera daripada kerajaan sebanyak RM1,000, Dicampur dengan wang ihsan lain, keseluruhannya saya dapat lebih RM6,000,” katanya yang menggunakan wang itu untuk membaik pulih rumah dan sistem pendawaian rumah yang rosak.
NUR SYAFINA
Seorang lagi mangsa banjir di Sungai Buloh, Nur Syafina Abdul Rahman, 39, memberitahu pakaian sekolah serta buku anak-anak tidak dapat digunakan lagi.
“Mujur ada bantuan ihsan kerajaan untuk menggantikan buku dan pakaian sekolah yang rosak,” katanya.
Dia memperolehi wang sumbangan ihsan keseluruhan berjumlah RM5,000 dan berharap pemberian bantuan sebegini dapat diteruskan.
MOHAMMAD ZAHID
Bagi Mohammad Zahid Rahim,39, dia menggunakan wang sumbangan kerajaan untuk membeli kelengkapan rumah yang rosak.
“Saya dapat RM4,500 dan digunakan untuk baik pulih kereta, beli peralatan rumah dan keperluan sekolah anak-anak,” katanya yang bekerja sebagai pemandu.
Zahid berkata, pemberian wang juga cepat dan didepositkan ke akaun peribadi selepas permohonan diluluskan.
“Saya harap selepas ini kerajaan teruskan pemberian bantuan untuk membina semula kehidupan kami sekeluarga,” kata bapa enam anak ini.