Skip to main content

Kerajaan disaran memperhalusi syarat kebenaran pengeluaran Akaun 1 KWSP bagi membantu pencarum terkesan akibat COVID-19 secara menyeluruh. – Foto hiasan

S: Pandangan Prof mengenai pelbagai polemik yang timbul berhubung pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP?

J: Kita perlu mencari titik keseimbangan antara keperluan ekonomi rakyat jangka pendek dan keperluan negara dalam masa panjang. Saya secara konsisten mencadangkan titik keseimbangan ini boleh dicapai dengan kaedah berikut, iaitu menerusi pertimbangan daripada kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar. Pendekatan ini dapat dilaksanakan dengan menetapkan kriteria mereka yang layak dan had pengeluaran secara bulanan. Sebaiknya, kadar bulanan itu dikira berdasarkan status pekerjaan semasa, tanggungan dan beban hutang semasa.

Kenapa bersasar? Ekonomi negara menunjukkan tanda positif ke arah pemulihan. Kebanyakan perniagaan dianggarkan pulih antara 50 hingga 60 peratus, berbanding situasi sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19. Begitu juga kadar pengangguran yang menurun daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.6 peratus pada September, sekali gus menandakan peningkatan peluang pekerjaan serta impak program pengekalan pekerjaan oleh kerajaan. Namun, peluang pekerjaan sedia ada juga mungkin tidak sepadan dengan pekerjaan sebelum COVID-19. Begitu juga, kadar gaji dan upah ditawarkan tidak sepadan dengan pekerjaan terdahulu. Jadi pada fasa pemulihan ini, masih ramai dalam kalangan pekerja dan isi rumah yang memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Adakah mencukupi pengeluaran bulanan RM500? Secara purata, pada pandangan saya kadar seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 adalah ‘keputusan adil’ kepada kedua-dua pihak iaitu pencarum dan KWSP. Kemudahan pengeluaran ini adalah untuk menyokong pendapatan isi rumah dan bukan sebagai punca pendapatan utama.

S: Dari segi ekonomi, apa kesan baik dan buruk keputusan membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 1 ini?

J:Caruman KWSP adalah simpanan wajib jangka panjang untuk persaraan pekerja. Jika kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP, ini akan memberi sedikit kelegaan kepada pekerja, terutama bagi mereka yang belum mendapat pekerjaan atau pekerjaan sekarang dibayar dengan gaji dan upah lebih rendah berbanding sebelum COVID-19. Namun, pelaksanaan ini ada risikonya kepada pekerja dan negara, iaitu simpanan pekerja untuk umur persaraan akan terjejas dan negara kehilangan dana untuk pelaburan terhadap ekonomi. Dana pelaburan domestik akan terjejas dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Selain itu, dana KWSP digunakan kerajaan sebagai antara sumber pinjaman dalam negara.

S: Pelbagai pihak berpandangan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP akan membolehkan pencarum berbelanja, seterusnya merangsang ekonomi. Boleh Prof jelaskan?

J: Pada jangka pendek, pengeluaran bulanan RM500 dijangka membantu meningkatkan perbelanjaan penggunaan. Perbelanjaan ini seterusnya bakal merangsang pertumbuhan ekonomi iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Impak sebenar ke atas pertumbuhan ekonomi bergantung kepada pengganda perbelanjaan dan corak perbelanjaan individu.

Contoh mudah, perbelanjaan ke atas pembelian alat elektronik akan memberi impak lebih kecil kepada KDNK, berbanding perbelanjaan produk makanan kerana kandungan import alat elektronik adalah tinggi. Setiap ringgit yang dibelanjakan ke atas barangan yang mengandungi import tinggi, bermakna sebahagian besarnya akan mengalir ke luar negara.

S: Namun, ada juga kebimbangan simpanan yang dibenar dikeluarkan itu tidak diguna untuk tujuan berbelanja, tetapi membayar hutang. Apa kesannya pula?

J:Dalam istilah ekonomi, sama ada wang digunakan untuk membayar hutang atau barangan lain, ia dianggap perbelanjaan. Bezanya, pembayaran hutang dinikmati syarikat kewangan dan pembayaran barangan akan dinikmati penjual barangan itu. Jika digunakan untuk membayar hutang, ia lebih baik kerana lebih bersifat ‘keperluan’ berbanding membeli barangan umpamanya perkakas elektronik yang mungkin lebih bersifat ‘kehendak’. Seperti yang saya nyatakan, selagi kemudahan pengeluaran ini digunakan untuk menyokong pendapatan isi rumah dan bukan dianggap punca pendapatan utama, maka ia relevan. Jika dijadikan punca pendapatan utama, maka kaedah selain daripada KWSP perlu dicari.

S: Pendirian Prof mengenai pandangan bahawa pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 bukan jumlah yang besar dan tidak akan jejaskan pencarum selepas bersara?

J:Dua justifikasi berikut menjelaskan mengapa bayaran dibuat dalam bentuk ansuran berbanding mengeluarkan RM10,000. Kita perlu mencari titik keseimbangan antara keperluan ekonomi rakyat jangka pendek dan keperluan negara dalam masa panjang. Jika pengeluaran RM10,000 sekali gus dibenarkan, ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi jangka panjang kerana dana KWSP digunakan untuk pelaburan ke atas ekonomi. Pengeluaran secara bulanan pula sebaliknya dapat mengawal secara tidak langsung perbelanjaan rakyat terhadap barangan bersifat ‘keperluan’.

S:Bagaimana pula isu kritikan kerajaan tidak sepatutnya halang pencarum keluarkan simpanan sendiri, hanya kerana khuatir dividen yang diperoleh bakal berkurangan?

J:Dalam keadaan ekonomi ketika krisis ini, isu dividen perlu diletak tepi dan bukan keutamaan. Apa yang penting adalah mencari titik keseimbangan antara keperluan ekonomi rakyat jangka pendek dan keperluan negara jangka panjang. Pendekatan pengeluaran bulanan RM500 adalah untuk mengimbangi keperluan ekonomi rakyat dan negara. Kaedah ini dapat mengimbangi keperluan rakyat pada masa ini dan masa depan mereka selepas persaraan kelak.

S: Apa paling membimbangkan Prof jika pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP dibenarkan secara umum, maknanya semua boleh keluarkan, bukan secara bersasar?

J:Ia tidak produktif dari sudut pandangan ekonomi kerana orang yang tidak layak dan tidak terkesan atau hanya sedikit terkesan turut menikmatinya. Ya, ia akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi pada jangka pendek, tetapi ‘kos’ ekonomi jangka panjang perlu juga diambil pertimbangan.

Apa perbezaan dari segi kesan di antara pengeluaran RM500 sebulan dengan pengeluaran sekali gus RM10,000 menerusi Akaun 1 KWSP?

J:Pengeluaran bersandarkan kaedah RM500 bulanan bakal membantu aliran tunai individu dan menyokong pendapatan individu. Ia dapat membantu individu membuat perancangan bulanan secara lebih teratur. Ini juga dapat membantu pemulihan ekonomi secara lebih berperingkat kerana pengeluaran sekali gus boleh menyebabkan suatu kejutan pengeluaran.

Sekiranya diteliti daripada sisi lain, iaitu pengeluaran RM10,000 sekali gus bakal mengundang potensi risiko ke atas pengurusan kewangan individu kerana wujud kecenderungan untuk berbelanja ke atas bukan keperluan. Ia juga berpotensi untuk berlaku kejutan pengeluaran kerana peningkatan permintaan akibat tambahan tunai tidak dapat diimbangi jumlah pengeluaran.

S: Wujudkah kesan gandaan sekiranya pengeluaran Akaun 1 KWSP dibenarkan, termasuk dalam kalangan golongan bukan sasaran?

J:J: Secara purata, bagi setiap ringgit yang dibelanjakan akan menjana KDNK sebanyak 75 sen. Langkah ini pasti akan memberi impak kepada KDNK negara, tetapi langkah ini akan memberi kos ekonomi jangka panjang kerana negara akan kekurangan dana untuk pelaburan yang akan mendatangkan manfaat jangka panjang.

Source : BH

Leave a Reply