Gelanggang pertempuran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditutup dengan keputusannya berkesudahan tiada gabungan parti politik mendapat jumlah kerusi majoriti mudah, jauh sekali memperoleh kuasa dominan bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
Pada pandangan penulis, situasi berlaku hari ini hampir sama seperti peristiwa selepas peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada ketika itu, wujud perpecahan dalam kalangan parti di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan PH tiada majoriti, manakala BERSATU bergabung bersama Barisan Nasional (BN), PAS dan parti lain untuk membentuk kerajaan.
Sebelum pembentukan kerajaan pada 2020 itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melaksanakan peranan baginda untuk menentukan siapakah calon Perdana Menteri yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen. Penentuan ketika itu adalah antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kini, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi melaksanakan peranan sama, malah calon sama juga menjadi watak penentu kepada Perdana Menteri ke-10.
Beberapa minggu sebelum PRU, penulis menegaskan betapa pentingnya kestabilan politik kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi. Kita sendiri merasai kesan ekonomi akibat ketidakstabilan politik kepada perniagaan, pekerjaan, pendapatan, tingkat harga dan pelaburan. PRU yang dijangka dapat menstabilkan kerajaan, akhirnya menjadi sebaliknya. Jika tiada penyelesaian tuntas, sejarah empat tahun lepas dijangka berulang lagi untuk empat hingga lima tahun akan datang.
Parlimen tergantung sebolehnya perlu dielakkan bagi memastikan sistem demokrasi dan tadbir urus negara terus berfungsi. Kelulusan semakan perundangan dan dasar pembangunan ekonomi memerlukan kelulusan Parlimen.
Apabila Parlimen tergantung, dasar pembangunan ekonomi tidak dapat dibentangkan dan seterusnya tidak dapat kelulusan pelaksanaan. Contoh mudah adalah Bajet 2023 yang perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baharu untuk mendapatkan kelulusan perbelanjaan. Apabila Parlimen tergantung, maka perbelanjaan mengurus terutama gaji kakitangan awam dan perbelanjaan pembangunan untuk 2023 secara prinsipnya tidak boleh dilaksanakan.
Pada pandangan penulis, Parlimen tidak akan tergantung lama sehingga memakan masa bertahun. Perundangan membenarkan Perdana Menteri sementara (caretaker Prime Minister) membentangkan bajet mini bagi membolehkan sebahagian peruntukan dibelanjakan bermula 1 Januari 2023. Namun, tidak pasti berapa bulankah perundangan membenarkan Perdana Menteri sementara melaksanakan tugas itu.
Apa yang merisaukan penulis dan kita semua adalah sejauh manakah kestabilan kerajaan yang bakal terbentuk dalam masa terdekat. Adakah kita mahu melihat babak kemelut politik seperti empat tahun lepas terus menjadi kekangan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia?
Peranan Yang di-Pertuan Agong penting
Sepanjang lebih 12 bulan lalu kerajaan lebih stabil kerana adanya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani kerajaan Persekutuan dan PH.
Kemungkinan mewujudkan semula MoU antara parti politik bergabung boleh menjadi ‘stabilizer’ kepada kebuntuan politik ketika ini. Walaupun MoU bukanlah menjadi jaminan 100 peratus kepada kestabilan politik seperti berlaku pada tahun ini, sekurang-kurangnya kestabilan boleh dikekalkan untuk satu tempoh tertentu.
Bagi membolehkan satu MoU terbentuk antara parti politik, peranan pihak ketiga sangat penting bagi mencari keseimbangan dan penyelesaian. Dalam konteks ini peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah penting.
Dalam setiap perundingan perlu ada asas. Perkara asas di sini bukanlah menentukan siapakah Perdana Menteri tetapi apakah yang ingin dilakukan ke atas Malaysia terutama pembangunan ekonomi.
Antara asas paling penting pada ketika ini adalah memulih dan mengukuh pertumbuhan ekonomi Malaysia serta memperbaiki taraf sosioekonomi rakyat. Daripada asas inilah, parti politik mengemukakan cadangan dasar dan kaedah penyelesaian serta nama cadangan menteri.
Pihak ketiga boleh melaksanakan peranan dalam memberi pandangan dan memuktamadkan cadangan dasar dan kaedah penyelesaian serta nama menteri berkenaan.
Kaedah MoU ini dilihat lebih efektif tetapi memakan sedikit masa untuk dimuktamadkan. Sementara rundingan dimuktamadkan, Perdana Menteri sementara boleh menjalankan tugas seperti biasa mengikut peruntukan perundangan sedia ada.
Tiada jalan mudah untuk mengekalkan kestabilan politik. Ambillah sedikit masa untuk mengadakan perundingan dan MoU bagi memastikan kestabilan serta kemakmuran jangka panjang.
Cukuplah meletakkan nama Perdana Menteri sebagai parameter penentuan, tetapi letaklah parameter kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Meletakkan nama Perdana Menteri sebagai parameter bukan penentu sepenuhnya kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Kita sudah pun melalui pengalaman itu.
Tepuk dada, tanya selera.