DANA khas termasuk dari luar negara perlu dipertimbangkan bagi pembinaan kembali rumah yang musnah akibat banjir, kata Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari.
Menurutnya, ia perlu diwujudkan tanpa membabitkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) individu.
Beliau berkata, dengan dana terbabit, kerajaan boleh memberi mandat kepada pengusaha sosial (social enterprise), badan bukan kerajaan (NGO) atau kelompok sukarelawan untuk membina semula rumah dengan kos yang murah.
Katanya, jika dilihat pada kerosakan dan kemusnahan harta benda akibat banjir, baru-baru ini, pastinya bantuan langsung daripada pihak kerajaan tak dapat menampung sepenuhnya kerugian akibat bencana itu.
“Bagaimanapun, bantuan kerajaan terbabit dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka yang terjejas.
“Pendekatan ini lebih baik dalam memperkukuh sistem sosial di Malaysia. Jika ini tidak dapat dilakukan, maka pendekatan perkongsian kos antara pihak kerajaan dan isi rumah boleh dipertimbangkan.
“Sekiranya, segala bentuk cadangan alternatif tidak boleh dilaksanakan, maka cadangan pengeluaran KWSP pada had tertentu dan pada individu tertentu boleh dipertimbangkan. Langkah bersasar ini membolehkan hanya individu yang terkesan sahaja mendapat pertimbangan,” katanya.
Menurutnya, simpanan KWSP benteng terakhir pekerja selepas mereka bersara.
“Dengan jangka hayat penduduk semakin meningkat, simpanan selepas bersara penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesara.
“Kemudahan pengeluaran sebelum ini banyak memberi implikasi kepada simpanan hari tua pekerja dan kita juga memahami banjir yang berlaku sudah menyebabkan kerugian besar kepada sebahagian penduduk.
“Kita juga memahami terdapat program bantuan pinjaman yang ditawarkan, tetapi perlu berhati-hati kerana boleh memberi implikasi kewangan jangka panjang kepada peminjam.
“Tetapi apa pilihan yang mereka ada? Pada pandangan saya sebelum kita mempertimbangkan cadangan pengeluaran KWSP, elok kalau kita cari jalan alternatif yang lebih efektif,” katanya.
Beliau berkata, bergerak ke hadapan, banjir yang saban tahun melanda negara sepatutnya dijadikan pengajaran supaya langkah proaktif diambil.
Mohd Yusof berkata, sudah tiba masanya insurans bencana alam bagi melindungi harta benda dan pekerjaan diperluas dan diperkasa.
“Langkah ini dapat mengurangkan beban fiskal kerajaan dan sediakan mekanisme bantuan,” katanya.