Skip to main content

LANGKAH awal diambil kerajaan menerusi peruntukan RM100 juta dilihat amat baik kerana menggalakkan pekerja sektor tidak formal mendaftarkan diri mereka dalam pangkalan data sesuatu pekerjaan.

Kuala Lumpur: Peluasan liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sangat penting bagi memastikan keterangkuman perlindungan pekerjaan serta pendapatan, terutama bagi golongan yang bekerja dalam sektor ekonomi Gig atau tidak formal.

Ahli Ekonomi Muda Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) Adzzahir Ifwad Adzman berkata, komitmen kerajaan memperuntukkan RM100 juta pada tahun ini untuk menyokong sumbangan Perkeso bagi pekerja Gig adalah satu inisiatif yang patut dipuji dan berpandangan jauh.

Menurutnya, tumpuan kerajaan terhadap pencegahan melalui insurans sosial adalah satu langkah penting ke arah Malaysia yang lebih makmur dan saksama

“Ia bukan sahaja menangani isu mendesak berkaitan perlindungan sosial tetapi juga menunjukkan komitmen terhadap dasar sosial yang inklusif.

“Ketika ekonomi negara terus berkembang, langkah seperti ini akan membantu mewujudkan masa depan lebih berdaya tahan dan terjamin daripada segi kewangan untuk pekerja di Malaysia.

“Terutamanya mereka yang berada dalam sektor tidak formal yang mudah terdedah kepada ketidakstabilan ekonomi,” katanya.

Adzzahir Ifwad berkata, cadangan untuk melaksanakan peluasan liputan perlindungan ini secara berperingkat mengikut fasa adalah pendekatan yang berhemah, terutama dalam situasi cabaran keseimbangan fiskal kerajaan.

Menurutnya, dengan meluaskan liputan secara berperingkat, kerajaan boleh merancang dan mengurus sumber dengan teliti untuk memberikan manfaat menyeluruh kepada pekerja secara bersasar.

“Adalah disyorkan kepada kerajaan agar inisiatif ini digabungkan dengan pemantauan dan penilaian impak secara berkala serta berterusan supaya usaha ini boleh memberikan manfaat, bukan sahaja kepada pekerja, tetapi juga ekonomi negara.

“Peluasan liputan (perlindungan) ini juga perlu dilihat daripada perspektif produktiviti dan meningkatkan kemahiran bagi melahirkan pekerja yang lebih berdaya saing.

“Selain itu, pelan komunikasi yang efektif perlu dibuat secara berterusan supaya maklumat berkaitan inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, pekerja sektor tidak formal tiada caruman KWSP dan Perkeso kerana tidak mendaftar dalam pangkalan data sesuatu pekerjaan.

Menurutnya, ia menyebabkan maklumat pekerja ini tidak dapat dikenal pasti, sekali gus memerlukan satu penyelesaian untuk melihat keperluan data pemprofilan terutama pekerja sektor tidak formal berkenaan.

“Ini adalah cabaran dalam sektor kerja tidak formal untuk mengenal pasti pekerjanya, jenis pekerjaan, pendapatan dan bentuk perlindungan sosial yang sesuai kepada mereka.

“Langkah awal yang diambil kerajaan menerusi peruntukan RM100 juta amat baik kerana menggalakkan pekerja sektor tidak formal mendaftarkan diri mereka dalam pangkalan data sesuatu pekerjaan.

“Dengan adanya maklumat terbabit, kerajaan boleh membantu mereka membuat caruman dalam KWSP bagi tujuan simpanan persaraan,” katanya.

Katanya, sekiranya ramai pekerja sektor tidak mahir tidak mempunyai perlindungan atau simpanan persaraan terutamanya KWSP, ia sebenarnya memberikan implikasi kepada kerajaan dan pekerja berkenaan.

“Ini kerana apabila tiada mekanisme perlindungan persaraan yang dibuat untuk pekerja secara komprehensif menyebabkan individu terbabit tidak mempunyai persediaan kewangan yang stabil dalam menghadapi persaraan.

“Selain itu, mereka turut menghadapi cabaran masa hadapan berkaitan kos sara hidup dan sebagainya,” katanya.

Katanya, daripada aspek lain walaupun mereka tidak mencarum, mereka mungkin mempunyai simpanan sendiri.

“Namun, pekerja ini terdedah kepada risiko tertentu yang mana simpanan mereka mungkin tidak diberikan perlindungan iaitu hanya menyimpan pada aset yang mungkin terdedah kepada risiko ekonomi dan tiada jaminan kerajaan.

“Ini sebenarnya mendedahkan risiko kepada mereka, jika menyimpan dalam dana yang tidak ditadbir oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya, manakala implikasi terhadap kerajaan pula ialah apabila pekerja sektor tidak mahir di negara ini diberikan perlindungan simpanan persaraan yang menunjukkan Malaysia ke arah negara yang menjaga kebajikan rakyat.

“Perlindungan yang inklusif ini memberikan gambaran baik kepada negara oleh pelabur luar menerusi pelaburan. Ini kerana kerajaan mampu menyediakan satu skim persaraan baik kepada rakyat tanpa mengira pekerjaan.

“Apabila pelabur melihat Malaysia mempunyai satu sistem yang baik, maka mereka akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan selamat untuk bekerja.

“Ini kerana apabila mereka hendak membuat pelaburan dalam sesebuah negara, pelabur melihat undang-undang buruh, perlindungan sosial dan sebagainya,” katanya.

Source : Harian Metro