Skip to main content

Siaran secara langsung Buletin AWANI745 dan program bual bicara, Agenda AWANI dari PPR Kampung Muhibbah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini, akan membawa pemahaman jelas impak inflasi pada golongan yang terkesan.

KUALA LUMPUR: Memahami sebilangan daripada rakyat Malaysia berhadapan dengan kesulitan dalam hidup berikutan tekanan inflasi, Astro AWANI melangkah setapak ke hadapan dengan mendasari gejolak rasa yang dilalui mereka.

Siaran secara langsung Buletin AWANI745 dan program bual bicara, Agenda AWANI dari PPR Kampung Muhibbah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini, kunjungan kami akan membawa pemahaman jelas impak inflasi pada golongan yang terkesan.

Di mata kasar, sebilangan besar daripada kita hanya melihat yang indah-indah mengenai kehidupan masyarakat di Kuala Lumpur – kota kosmopolitan yang punya segala-galanya.

Bagaimanapun, realitinya, hidup di kota yang masyhur di mata dunia itu tidaklah seperti yang diduga.
Sakit dan derita orang Kuala Lumpur tidak semuanya terdedah.

Percaya atau tidak, bukan sedikit warga kota yang hidup mereka benar-benar terhimpit.

Kejamnya hutan batu itu sehingga menyebabkan ada yang hidup mereka ibarat kata pepatah kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.

Banyak faktor yang mengubah secara total lanskap kehidupan warga Kuala Lumpur terutamanya serangan wabak COVID-19 yang telah meragut apa yang selama ini mereka miliki.

Dugaan tambah berganda apabila tekanan ekonomi dan kenaikan harga barang turut menyumbang pada keperitan hidup dan aktiviti seharian mereka.

Dengan darjah tekanan yang semakin tinggi, barangkali juga, jumlah mereka yang ‘cukup cukup makan’ terus meningkat.

Atau mungkin ada juga yang terdorong mencari pendapatan sampingan untuk meringankan beban perbelanjaan keluarga.

Laporan komprehensif dalam AWANI745 dan program bual bicara ‘Agenda AWANI’ malam ini akan membawa perhatian penonton pada titik tumpuan ‘Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi’ yang menunjukkan 58.2 peratus isi rumah yang terkesan akibat peningkatan harga pada masa ini memilih bantuan tunai.

Laporan berkenaan digerakkan atas kerjasama strategik Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro AWANI dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) selepas melakukan kajian lapangan, menganalisis dapatan dan merangkumkannya dalam hasil kajian ini.

AWANI745 malam ini akan disampaikan Luqman Hariz, diterbitkan Azizul Azwa Abdullah Shukor dan Ahmad Syukri Shaari.

AWANI745 malam ini turut menampilkan pakar ekonomi, Profesor Mohd Yusof Saari dan tiga penduduk dari PPR Kg Muhibbah.

Sementara, program temu bual, ‘Agenda AWANI’ yang bersiaran dari lokasi yang sama, akan dikendalikan oleh Essan Yahya, Dzulfitri Yusop, Nazri Kahar serta Luqman Hariz turut mengupas isu berkait kelangsungan hidup ketika kadar inflasi yang meningkat.

Agenda AWANI juga akan mengupas panjang lebar isu ekonomi dengan Mohd Yusof serta beberapa penduduk dari PPR Muhibbah termasuk seorang ibu tunggal dan peniaga dan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Ayuh rakyat Malaysia, luangkan masa anda untuk kita sama-sama memberi perhatian dan meraih manfaat bersama kami Astro AWANI di saluran 501 dan di www.astroawani.com bermula pukul 7.45 malam dan 8.30 malam ini!

Source : Astro Awani

Leave a Reply