SAYA berkesempatan berbincang secara ringkas berkenaan dengan GST dalam program Agenda AWANI pada 3 Jun 2022 yang lalu. Artikel ini saya sediakan bagi memperinci beberapa perkara yang tidak sempat dikupas pada program tersebut. Saya ingin memberi pandangan kepada tiga soalan di bawah. Sebelum itu, saya ingin menggunakan istilah VAT atau Value Added Tax berbanding GST atau Goods and Services Tax. Baca hujah saya dalam artikel ini.
Kenapa VAT ingin diperkenalkan semula?
Hujah yang digunakan oleh pihak kerajaan adalah terarah untuk meningkatkan kemampanan fiskal negara. Betul, tetapi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, menggunakan hujah VAT sebagai alat meningkatkan kecekapan dan pengagihan ekonomi adalah lebih ideal.
Umpamanya, pengenalan VAT dapat mengenal pasti kuasa monopoli yang wujud dalam pasaran melalui pemantauan margin keuntungan syarikat. Ini akan membantu kerajaan membenteras kartel dan memastikan harga barangan seperti makanan yang lebih terkawal di masa hadapan. Selain itu, VAT juga diperkenalkan bagi memastikan sebahagian kekayaan mereka yang berpendapatan tinggi dapat diagihkan kepada mereka yang berpendapatan rendah melalui potongan cukai VAT ke atas barang mewah. VAT juga membantu meningkatkan penyertaan sektor tak formal kepada formal bagi memudahkan bantuan dan sokongan kerajaan kepada pemilik dan pekerja sektor-sektor ekonomi.
Bilakah masa yang sesuai untuk dilaksanakan?
Penentuan masa adalah sangat penting bagi memastikan perlaksanaan VAT tidak membebankan semua pihak. Pada pandangan saya, tiga faktor berikut menjadi penentu utama kepada persoalan bilakah ianya akan dilaksanakan?
Pertama, pendidikan VAT dan kepenggunaan perlu dibuat terlebih dahulu kepada semua lapisan masyarakat termasuklah ahli politik, ahli parlimen, pegawai kerajaan, guru sekolah, ketua-ketua masyarakat dan khalayak ramai, apatah lagi golongan peniaga. VAT 1.0 yang dilaksanakan dahulu menunjukkan keadaan ketidakfahaman yang sangat jelas yang menyumbang kepada eksploitasi pasaran. Jika semua memahami sistem VAT, harga barangan di kedai ekonomi tidak akan naik daripada RM2 kepada RM2.10 untuk kadar 6% VAT. Pendidikan dan kefahaman menyeluruh perlu diterapkan sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum dilaksanakan. Pelan komunikasi kerajaan perlu sistematik. Jangan melaksanakan pelan komunikasi pendidikan selepas perlaksanaan.
Faktor kedua adalah kestabilan ekonomi. Kestabilan ekonomi bukan bermaksud ekonomi perlu berada dalam keadaan pertumbuhan yang tinggi. Kestabilan ekonomi di sini bermaksud ekonomi beroperasi secara normal tanpa ada kekejutan pasaran seperti kekangan bahan mentah, kekurangan pekerja dan tukaran mata asing yang tidak menentu. Kekejutan pasaran ini boleh memberi kesan herotan kepada perlaksanaan VAT.
Faktor ketiga ialah kestabilan tadbir urus ekonomi yang diterjemahkan kepada kestabilan politik. Kedudukan politik yang stabil membolehkan dasar-dasar yang tidak populis tetapi baik kepada ekonomi boleh dilaksanakan.
Bagaimanakah VAT 2.0 perlu dilaksanakan
Perlaksanaan VAT 1.0 cukup memberi pengajaran yang jelas kepada semua pihak tentang apa penambahbaikkan yang perlu dibuat untuk VAT 2.0. Saya kongsikan dua perkara sahaja.
Pertama, jangan guna lagi istilah GST kerana ianya tidak memberi gambaran berkenaan cukai nilai ditambah dan melambatkan kefahaman umum. GST adalah cukai ke atas nilai ditambah (value added) yang dicipta oleh sektor ekonomi. Jadi kenapa perlu dinamakan GST? VAT adalah istilah yang digunakan oleh kebanyakkan negara. Sos tomato dipanggil kerana bahan utamanya adalah buah tomato. Pelik jika buah tomato dibuat sos tetapi dipanggil sos jambu! Apabila dipanggil nama yang betul, ini akan memudahkan kefahaman semua pihak.
Kedua, pengalaman negara-negara lain menunjukkan pengenalan VAT satu sistem pematuhan adalah lebih baik daripada pengenalan pelbagai sistem. Untuk rekod, VAT 1.0 terdahulu memperkenalkan tiga sistem pematuhan yang menyebabkan kekeliruan dan kewujudan ruang kepada eksploitasi pasaran. Apabila wujudnya satu sistem VAT, bantuan kepada mereka yang berpendapatan rendah boleh dilakukan melalui pemindahan tunai atau kaedah bukan tunai seperti kad diskaun atau pengecualian VAT. Kaedah satu sistem juga mengelakkan berlakunya kelewatan pembayaran tuntutan seperti mana sistem terdahulu.