Skip to main content

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah benteng terakhir pekerja selepas mereka bersara.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, dengan jangka hayat penduduk yang semakin meningkat, simpanan selepas bersara sangat penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesara.

“Kemudahan pengeluaran sebelum ini sudah banyak memberi implikasi kepada simpanan hari tua pekerja.

“Jika seorang pesara memerlukan minimum RM1,500 sebulan untuk perbelanjaan kelangsungan hidup dan jika beliau memerlukannya untuk tempoh 10 tahun selepas bersara.

“Ini bermakna beliau memerlukan RM180,000 untuk menampung hidup selama 10 tahun. Cukupkah simpanan ini?” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ramai pakar sudah memberi amaran kemungkinan wujudnya kemiskinan selepas bersara.

“Kemungkinan ini ada asasnya jika dilihat pada simpanan pekerja pada hari ini. Negara berpotensi terjerumus ke kancah krisis sosial yang lebih parah jika kebajikan dan kewangan selepas bersara tidak diambil perhatian,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi selepas pengumuman pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000, Mohd Yusof mengakui terkejut kerana sebelum ini kerajaan konsisten dengan pendirian untuk tidak memberi kebenaran pengeluaran KWSP.

“Menteri Kewangan juga beberapa hari lalu memberi pendedahan kemungkinan lebih banyak aset KWSP akan dicairkan bagi membolehkan pengeluaran RM10,000 ini.

“Saya tidak pasti apakah pertimbangan yang dilakukan oleh kerajaan dalam memberi kebenaran? Adakah pertimbangan ekonomi jangka pendek dan jangka panjang telah diambilkira?

“Pakar ekonomi dan badan bukan kerajaan (NGO) juga sebelum ini jelas menyokong usaha kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP,” katanya.

Katanya, jika alasan membantu mereka yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19 boleh dijadikan hujah utama, benarkah KWSP dapat membantu mereka yang terkesan.

“Secara kasarnya, terdapat kira-kira tujuh juta pencarum KWSP termasuk mereka yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Ditambah dengan sekitar dua juta pekerja sektor awam yang tidak terkesan akibat pandemik, ini menjadikan keseluruhan adalah sembilan juta orang.

“Jumlah pekerja adalah sekitar 15 juta. Bagaimanakah nasib pekerja yang berjumlah enam juta lagi terutamanya mereka yang bekerja sendiri dan di sektor tak formal. Jadi fasiliti pengeluaran KWSP tidak bersifat inklusif,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun semua pihak bersetuju masih ada yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Jadi setiap bantuan perlulah terarah kepada mereka yang memerlukan. Bantuan juga perlulah bersifat inklusif iaitu semua terkesan mendapat manfaat,” katanya.

Katanya, bergerak ke hadapan, orang ramai tidak boleh lagi menggunakan wang simpanan persaraan sebagai penyelesaian masalah krisis ekonomi.

“Adakah setiap kali krisis ekonomi, KWSP dijadikan sasaran?

“Mudah kepada orang politik tetapi tidak kepada pertimbangan ekonomi. Polemik ini adalah ‘wake-up call’ yang jelas menunjukkan kepada situasi meruncing kepada bakal pesara di Malaysia.

“Kerajaan perlu mencari langkah atau strategi bagaimana pengeluaran hari ini boleh diganti pada masa hadapan, jika tidak, ini akan memberi risiko kepada pencarum apabila mereka bersara kelak,” katanya.

Menurutnya, sudah tiba masanya juga sistem persaraan swasta diadakan pembaharuan.

“Konsep dan sistem sekarang ini tidak mampan kepada pesara. Malaysia perlu pendekatan insurans sosial di mana pesara diberikan pencen secara bulanan seperti mana amalan negara maju.

“Pencen secara bulanan ini memastikan pesara tidak menghadapi masalah kewangan dan mereka boleh terus bersara dengan gembira,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Source : HARIAN METRO

Leave a Reply