Kuala Lumpur: Pelan Induk Perindustrian Baharu (PIPB) 2030 dilihat komprehensif apabila mencakupi aspek penting dalam negara untuk mengubah struktur perindustrian lebih bernilai tinggi, mampan dan memberi manfaat kepada penjanaan pekerjaan mahir serta pendapatan.
Dasar dan strategi yang digariskan dalam PIPB 2030 bersifat inklusif dengan menggariskan keperluan yang dikehendaki oleh Malaysia dalam mengubah struktur ekonominya lebih berdaya saing.
Ketua Ekonomi Buruh Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Mohd Yusof Saari berkata, PIPB 2030 adalah dasar perindustrian untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan.
“Sektor pembuatan adalah tunjang kepada ekonomi negara dan pemerkasaan serta lonjakan sektor ini diperlukan bagi membawa sektor lain untuk berkembang.
“Pelan Induk Perindustrian Ketiga (2006-2020) sudah berakhir. Ini menuntut kepada sebuah dasar pembangunan perindustrian baharu yang mengambil kira perubahan landskap ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta keberkesanan pelan ketiga yang lalu.
“Pelancaran PIPB 2030 adalah amat tepat sekali kerana Malaysia memerlukan hala tuju pembangunan perindustrian yang dapat mentransformasi ekonomi bernilai tinggi serta mencorakkan bentuk pelaburan.
“PIPB 2030 mencakupi tempoh masa 10 tahun dan pelaksanaannya akan diselarikan dengan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030),” katanya.
Menurutnya, sebahagian besar daripada cadangan kajian keberkesanan Pelan Induk Perindustrian Ketiga (2006-2020) yang dilaksanakan Miti bersama Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) ada terkandung dalam PIPB 2030.
“PIPB 2030 jelas menggariskan keperluan Malaysia dalam transformasi antaranya keperluan mempelbagaikan ekonomi.
“Malaysia bergantung kepada industri pembuatan dan berorientasikan eksport terutama elektronik, petroleum dan minyak sawit.
“Dari semasa ke semasa, terdapat keperluan untuk mempelbagaikan asas perindustrian untuk mengurangkan kebergantungan kepada beberapa sektor menjadikan ekonomi lebih berdaya tahan terhadap turun naik ekonomi global serta mencipta rantaian pengeluaran lebih kompleks,” katanya.
Katanya, wujud keperluan perindustrian berasaskan teknologi dan inovasi supaya Malaysia kekal berdaya saing dalam pasaran global dan terus meningkatkan industri melalui kemajuan teknologi dan inovasi.
“Pelan induk industri baharu boleh menggariskan strategi untuk memupuk penyelidikan dan pembangunan, penggunaan teknologi dan inovasi terutamanya berkait dengan aspek pendigitalan.
“Perindustrian yang dinamik kepada tindak balas persekitaran ekonomi global kerana landskap ekonomi global sentiasa berubah, dengan pasaran baru muncul, transformasi digital dan dinamik perdagangan yang berkembang.
“Strategi perindustrian Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini untuk mengekalkan daya saing,” katanya.
Katanya, kemampanan dan kebimbangan alam sekitar juga antara faktor pembangunan industri moden yang perlu selari dengan matlamat kemampanan dan peraturan alam sekitar terutama aspek berkaitan dengan pelepasan karbon.
“Selain itu, tenaga kerja mahir adalah penting untuk pertumbuhan industri, dengan pemerkasaan TVET dan perlaksanaan Model Gaji Progresif dijangka membantu mempercepatkan transformasi modal insan.
“Apa yang lebih penting faktor ketahanan rantaian bekalan, pandemik Covid-19 menyerlahkan kelemahan dalam rantaian bekalan global.
“Malaysia mungkin ingin menilai semula strategi perindustriannya untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan mengurangkan pergantungan kepada pembekal sumber tunggal,” katanya.
Menurutnya, pelaburan dan perdagangan asing antara pelan induk perindustrian baharu mungkin bertujuan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan mengukuhkan hubungan perdagangan dengan rakan kongsi utama untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
“Bagaimanapun, terdapat pertimbangan khusus yang perlu diberi perhatian dalam aspek tadbir urus ekonomi.
“Tadbir urus ekonomi yang baik penting bagi memastikan segala dasar dan strategi PIPB 2030 dapat dilaksanakan dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.