Gagasan Ekonomi MADANI dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan aspirasi untuk memperjuangkan keadilan sosial untuk meningkatkan darjat hidup rakyat. Ternyata inspirasi itu sangat bermakna ketika ini apabila tuntutan kepada lonjakan paradigma dalam formulasi dasar amat diperlukan untuk memastikan rakyat mendapat manfaat sewajarnya.
Tambahan pula, kesaksamaan peluang ditekankan dalam kerangka Ekonomi MADANI menjurus kepada akses keadilan peluang kepada jantina, masyarakat dan wilayah.
Realitinya, negara kita masih dibelenggu isu ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi antara wilayah yang masih menunggu penyelesaian tuntas untuk menangani isu struktural ini.
Landskap ekonomi semasa masih memperlihatkan dominasi beberapa negeri kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia. Pada 2022, lebih 60 peratus daripada KDNK negara disumbangkan lima negeri, iaitu Selangor sebanyak 26.2 peratus; Kuala Lumpur dan Putrajaya (16.3 peratus); Johor (9.7 peratus); Sarawak (9.6 peratus) dan Pulau Pinang (7.6 peratus).
Jika dibandingkan dengan statistik pada 2005, keadaan hampir sama juga ditunjukkan apabila negeri sama memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara.
Malah, dalam tempoh hampir dua dekad ini, purata kadar pertumbuhan KDNK lima negeri berkenaan berada pada paras 5.9 peratus berbanding 4.5 peratus bagi purata pertumbuhan KDNK negeri lain.
Jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah yang berlaku ini seolah-olah memperlihatkan wujudnya polarisasi ekonomi dengan negeri maju terus terkehadapan, manakala negeri kurang maju masih bergelut menongkah arus pembangunan.
Jelasnya, polarisasi ekonomi ini boleh memberikan kesan kepada pertumbuhan dan daya tahan sesebuah ekonomi, menyebabkan kelewatan pertumbuhan wilayah tertentu dan terdedah kepada risiko ekonomi.
Pertumbuhan ekonomi tidak seimbang ini sudah pasti memberikan kesan kepada tingkat pendapatan dan penciptaan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Dari segi ekonomi, kegiatan aktiviti ekonomi lebih tertumpu kepada sesuatu kawasan, terutama di kawasan bandar, boleh menghasilkan peluang pekerjaan lebih baik.
Dalam tempoh 15 tahun, data menunjukkan Selangor mencipta sekitar 102,200 peluang pekerjaan setahun, berbanding Pahang dengan 10,300; Kelantan (16,000); Negeri Sembilan (6,100) dan Terengganu (7,800).
Pasaran buruh terkesan
Trend ini menunjukkan pasaran buruh juga akan terkesan ekoran ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi antara wilayah.
Perlu ditekankan bahawa pewujudan peluang pekerjaan adalah lebih terhad di kawasan kurang membangun dan situasi ini boleh melebarkan jurang agihan pendapatan rakyat.
Dari sudut peningkatan gaji dan upah pula, purata gaji di Selangor meningkat daripada RM2,429 pada 2010 kepada RM3,543 pada 2021. Pada masa sama, purata gaji di Terengganu meningkat sekitar RM753, iaitu pada paras purata RM2,490 pada 2021.
Justeru ketidakseimbangan dan kesenjangan ekonomi ini memerlukan penjajaran dasar pembangunan yang lebih holistik. Dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan Persekutuan menggariskan hala tuju jelas untuk meningkatkan keseimbangan wilayah dan mendorong ke arah pertumbuhan inklusif.
Semestinya hala tuju strategi ini juga diambil kira dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Pembangunan wilayah dan nod pembangunan strategik diberikan fokus utama bagi memastikan pembangunan secara terangkum dapat dijajarkan.
Antaranya, pembangunan kawasan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) di Negeri Sembilan yang bakal menempatkan pelbagai industri berimpak tinggi seperti industri aeroangkasa, halal dan maritim.
Logiknya, pembangunan berimpak seperti ini mampu memberikan kesan limpahan kepada pembangunan ekonomi negeri, termasuk penciptaan peluang pekerjaan dengan tingkat pendapatan bermaruah kepada rakyat.
Sungguhpun begitu, wujud persoalan penting perlu diberikan perhatian, iaitu sejauh manakah pentadbiran peringkat negeri menyambut hala tuju strategi pembangunan ini?
Sewajarnya, perancangan dan pembangunan ekonomi di peringkat Persekutuan perlu dijajarkan pada peringkat negeri bagi mewujudkan kebersamaan dalam merealisasikan pembangunan mampan dan seimbang merentas wilayah.
Tambahan pula, umum perlu mengetahui kerajaan negeri juga mempunyai perancangan pembangunan ekonomi tersendiri.
Contohnya, Rancangan Selangor Pertama, Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025, Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 dan Pelan Pembangunan Kedah 2035, adalah antara pelan pembangunan dibangunkan di peringkat kerajaan negeri.
Semua dokumen ini bertunjangkan pembangunan ekonomi dan menyasarkan peningkatan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada rakyat.
Dalam hal ini, satu mekanisme pemurnian dasar pembangunan Persekutuan dan negeri wajar diwujudkan supaya satu titik persamaan boleh dicapai untuk manfaat semua pihak.
Tidak kurang pentingnya, agenda pembangunan mesti bersifat ‘kalis politik’. Ini kerana situasi politik semasa dilihat boleh memberi cabaran kepada kerajaan Persekutuan untuk menyelaras pembangunan di beberapa negeri.
Bagaimanapun, kebijaksanaan pemimpin untuk mewujudkan rekonsiliasi politik amat penting dalam situasi semasa demi menjaga kestabilan dan kelangsungan ekonomi rakyat.
Tidak dinafikan kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan memperkukuhkan lagi matlamat untuk membangunkan negara.
Justeru, agenda pembangunan negara perlu bersifat ‘kalis politik’ supaya hala tuju yang digariskan dalam dokumen pembangunan boleh direalisasikan dalam tempoh yang diunjurkan, tanpa mengira tampuk pemerintahan.