KADAR pengangguran dijangka terus menunjukkan trend penurunan sehingga 2025 selari dengan pemulihan pasaran buruh.
Itu hasil dapatan kajian Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE.
THE FUTURE dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kadar pengangguran yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui Laporan Survei Tenaga Buruh untuk 2022 adalah pada kadar 3.9 peratus berbanding 4.6 peratus pada 2021.
Jelas kenyataan tersebut, kadar pengangguran 2022 yang dilaporkan oleh DOSM itu adalah selari dengan unjuran yang telah dibuat THE FUTURE.
Katanya, pembangunan model unjuran yang dibangunkan oleh THE FUTURE membolehkan kadar pengangguran dianggar sehingga 2030.
“Hasil unjuran THE FUTURE mendapati pasaran buruh di Malaysia akan terus mengalami pemulihan dengan jangkaan kadar pengangguran pada tahun 2025 berada pada kadar 3.4 peratus.
“Pada 2025, pasaran buruh dijangka akan kembali stabil seperti mana tempoh pra-pandemik,” jelas kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, THE FUTURE memaklumkan, unjuran yang dilakukan menunjukkan pasaran buruh telah kembali stabil lebih awal daripada jangkaan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Jelas THE FUTURE, dalam RMK-12, kadar pengangguran dijangka berada pada paras 4.0 peratus pada 2025.
Tambah kenyataan tersebut, THE FUTURE turut menekankan keperluan pihak kerajaan untuk memberi tumpuan kepada peralihan demografi yang dijangka memberi impak jangka panjang kepada penawaran buruh akibat daripada penurunan jumlah populasi kumpulan umur bekerja (15-64 tahun).
“Pasaran buruh di Malaysia telah mengalami pemulihan yang signifikan dengan kadar pengangguran pada 2022 menunjukkan trend yang menurun.
“Momentum pemulihan ini dijangka akan terus berlaku sehingga mencapai kadar yang stabil pada 2025,” katanya.