Skip to main content

The common assumption that increasing wages can lead to market distortion and reversely affect economic performance is viewed to be an “unspell curse” to the Malaysian economy. – NSTP file pic

KUALA LUMPUR – Kajian mendapati perubahan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak mendatangkan kesan terhadap kadar inflasi.

Pengerusi The Future Studies Berhad (The Future) Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd. Sohod berkata, pihaknya telah melakukan kajian empirikal terhadap data bulanan yang dikutip selama 12 tahun.

“Persoalan penting yang perlu dirungkai ialah adakah OPR memberi kesan langsung kepada inflasi? Secara teorinya, OPR mempengaruhi dinamika inflasi, tetapi adakah bukti empirikal mengesahkan hubungan ini?

“Hasil analisis empirikal oleh The Future menggunakan data bulanan untuk tempoh Januari 2010 hingga Mac 2023 menunjukkan bahawa OPR tidak mempengaruhi kadar inflasi secara langsung,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, terdapat indikator lain yang berhubung secara langsung dengan kadar inflasi seperti kadar tukaran asing, harga pengeluar dan kadar pengangguran.

Kajian tersebut dilakukan berikutan reaksi rakyat terhadap keputusan Bank Negara Malaysia baru-baru menaikkan OPR hingga mencetuskan perdebatan awam dan mewujudkan keresahan pelbagai lapisan masyarakat.

Mohamad Salami berkata, analisis ‘Does Overnight Policy Rate Drive Inflation?’ yang dilaporkan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam siri penerbitan EU-ERA Policy Brief juga menghasilkan dapatan sama.

Laporan tersebut menekankan kepentingan untuk menguruskan faktor jangkaan inflasi yang kurang mendapat perhatian dalam penentuan kadar inflasi di Malaysia.

Menurut beliau, jangkaan inflasi adalah faktor penting untuk pelaksanaan dasar kewangan yang efektif.

“Jika bank pusat berupaya menambat jangkaan inflasi jangka panjang pelaku ekonomi menghampiri sasaran inflasinya, ia lebih berkemungkinan berjaya dalam menetapkan inflasi yang rendah dan stabil,” kata beliau.

The Future berpandangan pengurusan faktor jangkaan inflasi adalah penting dalam menstabilkan inflasi.

Orang ramai menggunakannya untuk membuat keputusan tentang perbelanjaan, peminjaman dan pelaburan.

Sektor perniagaan juga sering menggunakan jangkaan tersebut apabila menetapkan harga untuk barangan dan perkhidmatan di pasaran.

“Oleh itu, wujud keperluan untuk mengukur secara berkala jangkaan inflasi oleh pelaku ekonomi utama seperti isi rumah, sektor perniagaan dan ahli profesional,” kata beliau.

The Future turut menekankan keperluan pihak kerajaan mengutamakan indikator selain OPR dalam mengawal dan menstabilkan inflasi.

Perincian laporan berkenaan boleh diakses melalui https://euera.org/policy-brief/does-overnight-policy-rate-drive-inflation/

Source : MalaysiaGazette

Leave a Reply