Skip to main content

Kadar pengangguran tahun 2023 berada pada paras 3.8% jika Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan KDNK pada 4.5%. -Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran tahun ini diunjur pada paras 3.8 peratus sekiranya Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus, lapor The Future Studies Berhad (The Future).
Unjuran itu adalah dapatan analisis ‘Assessing the 2023 Unemployment Outlook: Challenges and Opportunities Ahead’ yang dilaporkan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa (EU-ERA) dalam siri penerbitan EU-ERA Policy Brief.

Menurut Pengerusi The Future, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod, pemantauan berterusan yang dilakukan pada kadar pengangguran adalah penting bagi penggubal dasar untuk membuat keputusan termaklum mengenai kesejahteraan ekonomi dan dasar aktif pasaran buruh.

“Ia membantu penggubal dasar mengenal pasti bidang keutamaan dan sokongan tambahan mungkin diperlukan,” kata Mohamad Salmi.
Laporan tersebut juga menggariskan beberapa cadangan intervensi ekonomi bagi mempercepatkan penyerapan pekerjaan serta mengurangkan lagi kadar pengangguran.

Antara cadangan intervensi tersebut merangkumi peningkatan gaji dan upah, merangsang pertumbuhan sektor yang memilik pengganda guna tenaga yang tinggi, mengutamakan segmen tenaga kerja belia, graduan, wanita pekerja yang berusia dan mengoptimumkan pendekatan pengambilan dan pemadanan pekerja yang inklusif.

Salmi turut berkata, kadar pengangguran Malaysia pada 2023 dijangka akan dapat dikurangkan pada paras yang lebih rendah jika ekonomi Malaysia berkeupayaan tumbuh dengan kadar yang lebih tinggi.
“Jika pertumbuhan KDNK 2023 mampu dicapai pada kadar 5.5 peratus, kadar pengangguran diunjur berkurangan kepada 3.6 peratus,” katanya.

Katanya, The Future menerusi EU-ERA berdedikasi untuk menjalankan penyelidikan dan analisis tentang landskap ekonomi dan pasaran buruh yang berubah dengan pantas, dengan matlamat untuk memaklumkan kepada penggubal dasar, perniagaan dan orang ramai tentang implikasi daripada perubahan ini.

Source : Astro Awani

Leave a Reply