Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membentangkan Belanjawan 2023, Jumaat ini dan sudah pastinya tumpuan akan terarah kepada inisiatif kerajaan dalam menyantuni rakyat serta menangani kos sara hidup.
Inti pati berkenaan bakal menjadi 'ramuan' utama untuk Kerajaan Madani kali ini dan beberapa pendekatan baharu dijangka diperkenalkan oleh Perdana Menteri.
Tema yang akan diketengahkan dalam Belanjawan 2023?
Belanjawan adalah alat intervensi dasar jangka masa pendek yang akan menyokong dasar jangka masa sederhana.
Dalam erti kata lain, belanjawan tahunan menyokong dasar yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Saya tidak pasti apakah tema yang akan digunakan dalam belanjawan kali ini.
Tetapi secara idealnya, belanjawan ini perlu berfokus kepada dua perkara utama iaitu kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Kemampanan ekonomi perlu terarah kepada dua perkara.
Pertama, memastikan pertumbuhan ekonomi yang memuaskan pada 2023 dengan mengambil kira faktor persekitaran ekonomi luaran.
Kedua, melaksanakan intervensi bagi mengubah struktur ekonomi bagi memastikan kemampanan pertumbuhan jangka panjang.
Ini termasuk membuat pembetulan kepada herotan pasaran sedia ada serta mencari peluang dan ruang kepada penjanaan kekayaan dan pendapatan baharu negara di masa hadapan.
Kesejahteraan rakyat perlu terarah kepada usaha jangka masa pendek bagi mendepani tekanan kos sara hidup akibat pertumbuhan pendapatan yang perlahan berbanding dengan pergerakan tingkat harga.
Apakah bentuk bantuan yang dirasakan perlu pada belanjawan kali ini dan mungkinkah fokus akan berkisar kepada kos sara hidup rakyat?
Inti pati belanjawan dijangka tidak akan ada perubahan besar oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan.
Isi kandungan belanjawan selalunya bersifat tetap yang berubah hanya perubahan cadangan program dan kaedah pelaksanaan.
Secara idealnya, bantuan dan insentif akan terarah kepada pihak industri (majikan), pekerja, isi rumah dan golongan pelajar.
Fokus kepada intervensi mengurangkan impak tekanan kos sara hidup akan menjadi salah satu tumpuan utama.
Isu kos sara hidup dan ekonomi secara amnya menjadi antara faktor utama mempengaruhi corak keputusan pilihan raya yang lalu.
Rakyat ingin melihat satu perubahan yang pragmatik ke atas kaedah menangani kos sara hidup pada ketika ini.
Kunci kepada negara untuk keluar daripada kancah kos sara hidup ini ialah dengan kaedah meningkatkan gaji dan upah pekerja. Peningkatan gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini.
Kita mengharap sebuah model gaji dan upah baharu akan dicadangkan dalam belanjawan ini. Model gaji dan upah sedia ada seperti upah minimum didapati gagal dalam meningkatkan pendapatan rakyat.
Bagi golongan M40 dan T20, bagaimanakah kerajaan boleh menyantuni golongan ini?
Satu daripada tonggak Malaysia Madani ialah kesejahteraan. Tonggak kesejahteraan memastikan pertumbuhan dan kedudukan ekonomi diterjemahkan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat merentasi semua golongan.
Krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19 telah memperlihatkan peralihan dalam pengagihan pendapatan.
Pada tahun yang lalu, cerapan data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia memperlihatkan kejatuhan sebahagian daripada isi rumah daripada kumpulan T20 kepada M40 dan M40 kepada B40.
Daripada sudut bantuan dan mekanisma sokongan pula banyak terarah kepada golongan B40 berbanding M40.
Bagi memastikan keterangkuman program bantuan dan sokongan, kerajaan perlu memastikan tiada pihak yang ketinggalan.
Bantuan yang diperlukan oleh B40 besar kemungkinan tidak sama seperti keperluan M40 dan T20.
Umpamanya, bantuan tunai secara berkala lebih sesuai kepada sebahagian besar kumpulan B40 tetapi bagi kumpulan M40, bantuan persekolahan dan perumahan dilihat antara keperluan yang perlu disantuni.
Bagi kumpulan T20, insentif perniagaan dan percukaian boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.
Saya juga berpandangan bahawa kerajaan perlu menilai semula program dan mekanisma bantuan kepada rakyat agar ia lebih bersifat terangkum. Melihat semata-mata kepada jumlah pendapatan isi rumah adalah tidak memadai.
Pada pandangan Dr, apakah sebahagian besar cadangan belanjawan yang lalu (Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan diteruskan atau ini belanjawan baharu?
Pada pandangan saya, sebahagian besar cadangan belanjawan yang dikemukakan oleh pentadbiran Perdana Menteri kesembilan masih relevan.
Inti pati belanjawan yang lalu telah menyentuh aspek kesejahteraan rakyat dengan memberi tumpuan kepada aspek pasaran pekerjaan.
Ini adalah bertepatan kerana hampir dua pertiga daripada pendapatan rakyat dijana dari pasaran pekerjaan.
Usaha juga dicadangkan bagi meningkatkan pengeluaran makanan. Selain itu, cadangan usaha-usaha ke arah mengubah struktur ekonomi negara turut terkandung dalam belanjawan terdahulu.
Malah, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) turut menyumbang artikel berkaitan dengan manfaat peningkatan upah dan gaji kepada negara dalam buku Tinjauan Ekonomi 2023.
Jadi elok jika pada belanjawan kali ini, sebuah model gaji dan upah baru diperkenalkan bagi melihat kesinambungan daripada artikel berkenaan.
Penambahbaikan pada belanjawan yang terdahulu sangat dialu-alukan.
Contoh, belanjawan yang lepas tidak menyatakan secara usaha menyeluruh, pragmatik dan bersepadu dalam menangani kos sara hidup.
Belanjawan terdahulu juga mengandaikan ekonomi 2023 berada dalam keadaan merudum.
Tetapi jangkaan terkini mendapati keadaan ekonomi 2023 adalah lebih baik berbanding dengan jangkaan yang dibuat pada suku keempat tahun lepas. Jadi kemungkinan penentukuran semula (recalibration) adalah perlu kepada belanjawan ini nanti.
Apakah kaedah strategik dalam mengurangkan beban rakyat dan mengurangkan kos sara hidup?
Semua pihak ingin melihat satu perubahan ke atas usaha dan strategi menangani kos sara hidup.
Dalam perspektif ekonomi, kos sara hidup dipengaruhi oleh faktor pergerakan pendapatan dan harga.
Daripada aspek pendapatan, pasaran pekerjaan, buruh asing, pengangguran, gaji dan upah, dan kualiti pendidikan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
Daripada harga pula, dasar upah, produktiviti, pengeluaran makanan dan struktur pasaran mempengaruhi pergerakan harga.
Saya tidak nampak keseluruhan ekosistem penyelesaian masalah kos sara hidup diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Penyelesaian tuntas masih belum dapat dilihat pada ketika ini.
Jadi, umum mengharapkan Belanjawan 2023 pada kali ini akan memperlihatkan anjakan kepada kaedah kerajaan menangani isu kos sara hidup.
Perlu juga dinyatakan bahawa wujudnya kaedah 'rawatan' ekonomi kepada kos sara hidup yang tidak menyakitkan pihak pengeluar dan memberi limpahan kepada rakyat.