Skip to main content

Keyakinan terhadap permintaan barangan keluaran tempatan perlu dikembalikan bagi mengukuhkan ringgit -NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini secara dasarnya dipengaruhi oleh faktor luaran, namun tidak bermakna kerajaan perlu terus berdiam diri tanpa melaksanakan langkah membendung kesan penurunan mata wang tempatan itu kepada rakyat.

Penganalisis kewangan, Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid, berkata kejatuhan ringgit adalah di luar kawalan tetapi kerajaan harus mengambil langkah segera terutamanya semasa pembentangan Bajet 2023, dengan memastikan ada kaedah untuk membantu rakyat dan mengukuhkan mata wang tempatan.

“Pertama, subsidi perlu diteruskan terutamanya yang perlu seperti subsidi minyak petrol. Ini kerana, terdapat ura-ura menyatakan akan dilaksanakan kembali harga terbuka petrol. Perkara ini kita pernah laksanakan sebelum ini dan kesannya adalah lonjakan harga barang.

“Petrol adalah salah satu sumber utama kepada kebanyakan aktiviti ekonomi,” katanya ketika menjadi panel forum ‘Tiga Soalan Ringgit, Kenapa, Cukupkah, Apa Lagi?’ secara maya anjuran Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA).

Program itu turut menampilkan Ketua Ekonomi Buruh, Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari dan dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman.

Baharom berkata, kerajaan juga tidak perlu melihat jumlah peruntukan subsidi hampir RM80 bilion tahun ini sebagai bebanan kerana ia perlu diteruskan demi kelangsungan hidup rakyat.

Bajet 2023 juga, katanya perlu memberikan peluang pendidikan secara sampingan seperti kursus jangka pendek bagi membolehkan rakyat bersedia dengan kemahiran lain jika berlakunya krisis serta kegawatan.

Ditanya langkah lain yang perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan ringgit, beliau menyatakan bahawa keyakinan terhadap permintaan barangan keluaran tempatan perlu dikembalikan.

“Ini bagi membolehkan rakyat melakukan pembelian domestik yang akan meningkatkan permintaan barang domestik, sekali gus mengukuhkan ringgit. Kerajaan juga perlu menyemak semula sesuatu insentif yang pernah kita lakukan.

“Berikan insentif tertentu kepada pelabur khususnya dalam sektor teknologi tinggi seperti pengecualian cukai,” katanya.

Source : BERITA HARIAN

Leave a Reply