KUALA LUMPUR: Pemulihan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah penting kerana sektor ini menjadi penyumbang utama ekonomi negara.
Usaha pemulihan PMKS selepas pandemik akan memastikan enjin pertumbuhan ekonomi negara itu kekal berdaya saing.
Malah, semua pihak perlu menyokong usaha itu secara bersama dengan kerajaan.
Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata langkah yang dilaksanakan kerajaan selama ini memberi impak yang besar kepada penjanaan aktiviti ekonomi dan pekerjaan, terutama PKS.
Beliau berkata, sebelum ini aktiviti ekonomi PKS terutama yang berkaitan dengan makanan dan minuman (F&B), peruncitan dan pelancongan pada peringkat negeri mengalami penyusutan permintaan perbelanjaan akibat kekangan pergerakan pengunjung dan pelawat dari negeri lain.
Namun langkah segera kerajaan dan suntikan bantuan bukan sahaja memberi manfaat kepada aktiviti ekonomi sektor PMKS tertentu seperti F&B, peruncitan dan pelancongan setempat, malah akan menjana secara tak langsung pertumbuhan sektor lain seperti pertanian, pengangkutan dan perkhidmatan lain yang mempunyai hubungan rantaian bekalan.
PKS katanya, menyerap sekitar 60 peratus guna tenaga di Malaysia, jadi langkah kerajaan selama ini seperti pembukaan sempadan dan ekonomi telah menjana peluang pekerjaan dan seterusnya dapat mengurangkan kadar pengangguran.
“Ini akan membantu mengurangkan tekanan kepada pasaran buruh. Dengan adanya pekerjaan, maka wujudlah pendapatan.
“Pendapatan ini akan digunakan untuk berbelanja dan ini akan memberi rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pula berkata apabila sektor ekonomi dibuka, ianya akan mengelakkan banyak peniaga mengalami risiko kegagalan.
Beliau berkata, tindakan kerajaan selama ini untuk keluar daripad krisis pandemik sudah memastikan banyak perniagaan akan mampu kekal bertahan dan kekal menggaji pekerjanya.