Skip to main content

Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja dibentangkan Jabatan Perangkaan baru-baru ini, sebanyak 82 peratus daripada pekerja sektor formal di negara ini dikesan bergaji kurang RM5,000 dengan lebih 50 peratus daripadanya menerima pendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Laporan itu juga turut menunjukkan gaji permulaan bagi lepasan Ijazah semakin merosot dan menghampiri tingkat gaji minimum. Justeru, apakah strategi yang patut atau sesuai dilaksanakan bagi mendepani cabaran dihadapi graduan ini?

Antara langkah proaktif jangka pendek boleh dilaksanakan kerajaan adalah melalui galakan mobiliti pekerja, terutama dalam kalangan graduan, daripada sektor kurang produktif kepada sektor lebih produktif.

Berdasarkan analisis model ekonomi dijalankan, sektor ekonomi boleh dikategorikan kepada sektor berproduktiviti tinggi dan sektor kurang produktif. Sektor berproduktiviti tinggi lazimnya menggaji pekerja berkemahiran dengan gaji lebih lumayan berbanding sektor kurang produktif, lebih berintensifkan buruh dan bergaji rendah.

Sektor kurang produktif akan memberikan kesan herotan kepada mekanisme Penentuan gaji dalam sektor berkenaan, lantaran wujudnya persaingan mendapatkan pekerjaan antara pekerja berkemahiran dan kurang mahir.

Sebagai contoh, sektor pembuatan peralatan perubatan adalah antara sektor ekonomi berproduktiviti tinggi dan menggunakan 39.6 peratus pekerja berkemahiran, manakala sektor pembuatan produk plastik pula adalah sektor berintensifkan buruh dengan komposisi 19.7 peratus pekerja berkemahiran.

Walaupun begitu, tingkat pampasan pekerja bagi kedua-dua sektor ini berbeza. Sektor pembuatan peralatan perubatan merekodkan pampasan sebanyak RM168,000 bagi setiap pekerja, berbanding sekitar RM43,000 seorang pekerja dalam sektor pembuatan produk plastik.

Sememangnya, struktur pampasan pekerja berbeza ini dipengaruhi jenis industri itu, tetapi wujud ruang untuk memperbaiki situasi ini dengan menggalakkan mobiliti pekerja berkemahiran dari sektor kurang produktif kepada sektor lebih produktif.

 

Kerajaan laksana bantuan mobiliti pekerja

Pada ketika ini, kerajaan melaksanakan bantuan mobiliti pekerja secara sekali bayaran. Inisiatif ini dijalankan bagi menggalakkan pencari pekerja berpindah dari lokasi tempat pemastautin. Bayaran sebanyak RM500 hingga RM1,000 diberikan kepada pencari kerja memenuhi syarat ditetapkan.

Bantuan ini diberikan bagi meringankan beban pencari kerja yang mengalami kekangan wang untuk berpindah ke tempat kerja baharu. Bagaimanapun, bantuan diberikan dilihat tidak difokuskan secara langsung bagi menggalakkan pencari kerja mendapatkan kerja dalam sektor ekonomi produktif.

Dalam satu kajian lain, terdapat manfaat daripada trend mobiliti pekerja ini, terutama dalam tempoh tiga tahun selepas bergraduat. Secara keseluruhannya, purata gaji graduan meningkat sebanyak 29.2 peratus apabila graduan bertukar pekerjaan lain. Ini menunjukkan graduan bertukar dari satu pekerjaan kepada pekerjaan lain akan mendapat gaji lebih baik.

Tambahan daripada itu, jenis mobiliti pekerjaan juga memainkan peranan dalam menentukan peratus peningkatan pekerjaan graduan. Mobiliti menegak iaitu pergerakan graduan daripada pekerjaan berkemahiran rendah kepada pekerjaan berkemahiran, menunjukkan peningkatan purata gaji sebanyak 59.2 peratus.

Selain itu, mobiliti mendatar turut boleh meningkatkan gaji graduan sebanyak 36.2 peratus yang mana kategori ini merujuk kepada pergerakan graduan dalam kategori pekerjaan berkemahiran.

Ini menunjukkan mobiliti pekerja memainkan peranan penting bagi meningkatkan purata gaji graduan. Justeru dalam usaha meningkatkan gaji graduan, pendekatan jangka masa pendek seperti galakan mobiliti ini boleh diteliti secara holistik dan disasarkan kepada sektor ekonomi berproduktif dan berdaya saing tinggi.

Bagaimanapun, usaha ini berkemungkinan perlu disertakan sekali dengan pakej program meningkatkan kemahiran dan mengasah semula kemahiran, bersesuaian dengan keperluan industri.

 

Oleh Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman dan Nur Azreen Mokhyi

Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE