Skip to main content

Isu tunggakan sewa penduduk PPR dilihat makin membebankan kerajaan. — Gambar hiasan/The Star

SATU program intervensi secara menyeluruh disarankan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), demikian cadangan pakar ekonomi, Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman.

Ia susulan isu tunggakan sewa melibatkan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dilihat semakin membebankan kerajaan.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, isu tersebut perlu diselesaikan dengan menggunakan pendekatan lebih mikro.

Masalah tunggakan sewa yang perlu diselesaikan dengan inisiatif baharu. — Gambar hiasan/The Star

Menurutnya, pendekatan itu boleh dilakukan secara lebih terperinci untuk mengelakkan ia terus berlarutan.

“Maksud saya lebih mikro adalah seperti KPKT melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh pergi sendiri, turun padang untuk mengenal pasti profil-profil mereka (penyewa ppr).

“Ia kerana bayaran sewa berdasarkan pendapatan isi rumah, jadi bila tahu informasi itu, baru KPKT dapat kenal pasti keupayaan mereka untuk membayar,” katanya kepada Majoriti.

Daaniyall berkata, notis pembayaran lewat yang diberikan kepada penyewa bermasalah juga tidak memberi sebarang kesan jika tiada tindakan sedemikian.

Daaniyall menyarankan agar KPKT mengambil pendekatan lebih proaktif.

Baginya, tindakan tegas seperti menghalau keluar penduduk yang tidak mampu membayar adalah tidak wajar kerana dilihat seolah-olah tidak berperikemanusiaan.

“Selain ambil tindakan tegas atau undang-undang, lebih baik kerajaan buat program intervensi secara menyeluruh untuk penduduk PPR.

“Teliti dan kaji profil-profil mereka dan hasilkan program yang dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah supaya boleh membayar sewa,” katanya.

Untuk rekod, masalah terbabit adalah melibatkan penduduk yang menghuni kategori PPR Disewakan.

PPR terbahagi kepada dua kategori iaitu PPR Dimiliki dan PPR Disewakan, tetapi kedua-duanya menggunakan spesifikasi perancangan dan reka bentuk yang ditetapkan dalam Standard Perumahan Kebangsaan Bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa (CIS2).

PPR Disewa juga telah diperkenalkan pada Februari 2002 bertujuan untuk disewakan kepada golongan sasaran khususnya yang berpendapatan rendah dan setinggan.

Kadar bayaran sewa juga tidak lebih RM150 sebulan dikenakan kepada penyewa.

Bagaimanapun, isu berbangkit itu juga sebelum ini dikatakan berpunca daripada sikap culas penyewa yang suka menangguhkan pembayaran.

Rentetan itu, pihak kerajaan terpaksa menanggung kos tunggakan sewa yang tinggi disebabkan masalah tersebut. — Majoriti

Source : Majoriti